Isnin, 9 Januari 2012

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (1873-1944M)

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Makkah pada tahun 1290 H/1873 M dan wafat pada pada tahun 1363 H/1944 M. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan di kalangan ahli keluarganya yang menjadi ulama besar iaitu ayahnya sendiri Syeikh Nik Mat Kecik, Syeikh Wan ‘Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau pernah dihantar belajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir walaupun pada masa itu, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu dan layak bergelar ulama.

Ketika belajar di Mesir, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani belajar dengan beberapa ulama besar seperti Syeikh Bakhit, ulama dalam Mazhab Hanafi dan tokoh gerakan pembaharuan seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha yang merupakan murid dan orang kanan Syeikh Muhammad Abduh. Seperti kata al-Marhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, walaupun beliau pernah menimba ilmu dengan tokoh pembaharuan dan bersahabat dengan pelopor gerakan Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi namun beliau tidak pernah cenderung pada mana-mana pihak samada Kaum Tua atau Kaum Muda sebaliknya sentiasa berlapang dada apabila bertemu dengan kedua-dua belah pihak itu. Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani daripada satu segi tetap mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Seperti kata a-Marhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, dengan cara demikian akhirnya kedua-dua pihak (Kaum Tua dan Kaum Muda) dengan sendirinya berasa segan dan hormat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengikuti jejak langkah ayahandanya apabila turut memegang jawatan yang tidak kurang pentingnya di Makkah. Beliau dilantik menjadi ‘Kadi Mahkamah al-Kubra Makkah’ malah pernah menjadi ketua dalam jabatan itu. Selain itu Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pernah menjadi ‘Ketua Syeikh Haji Al-Jawi Makkah’ sama seperti yang pernah dilakukan oleh ayahandanya dan juga moyang saudaranya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai penguasa tertinggi Islam di Makkah pada zamannya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani tetap meluangkan masa untuk mengajar baik di rumah mahupun di Masjid al-Haram, Makkah. Sama seperti ayahandanya, beliau juga sangat pemurah dan sentiasa menolong orang. Beliau akan memberi pertolongan dengan mengurusnya sendiri hingga selesai tanpa mengira masa dan kewangan. Beliau mewarisi sifat tersebut daripada ahli keluarganya yang terdahulu iaitu moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ayahandanya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan saudara pupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Syeikh Ahmad al-Fathani dikatakan pernah berwasiat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani supaya kelakuan yang terpuji itu diterap dan diajarkan kepada murid-muridnya khususnya kepada keturunannya.

Dalam bidang penulisan, karya terbesarnya ialah Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab malah menjadi teks pengajian di kebanyakan surau dan masjid diseluruh Negara. Penulisannya dilakukan di Makkah dan diselesaikan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir 1351 H/11 Ogos 1932. Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M) yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.