Imam al-Mawardi adalah seorang
ulamak berbangsa Arab lagi faqih dan tergolong di kalangan ulamak fiqh
bermazhab Syafi’i yang terulung. Beliau juga dianggap sebagai salah seorang
daripada pemikir Islam dan tokoh politik yang paling menonjol semasa
pemerintahan kerajaan Abbasiah.
Nama beliau yang sebenarnya ialah Abu Hassan Ali bin Muhammad bin Habib Mawardi al-Basriy al-Syafi’i. Nasab nama beliau dinisbahkan kepada nama Mawardi kerana bapanya seorang penjual air mawar (مَاءُ الْوَرْدِ ). Di dalam kitab Subh al-A’syi, jilid 6 halaman 243, disebutkan ulamak-ulamak yang menukilkan perjalanan hidup beliau berpendapat umur Imam al-Mawardi ialah 86 tahun.
Beliau dilahirkan di Basrah pada tahun 364 Hijrah. Ketika itu, kerajaan Abbasiah sedang berada di puncak ketinggian dalam segi keilmuan dan kemajuan pengetahuan Islam. Beliau wafat pada hari Selasa bulan Rabiul Awal tahun 450 Hijrah. Jenazah beliau disembahyangkan oleh Khatib Baghdadi, para ulamak dan pembesar kerajaan di masjid Madinah. Dinukilkan bahawa kewafatan beliau ialah selama 11 hari selepas wafatnya Abu Thayyib Thabari.
Beliau mempunyai seorang saudara lelaki yang tinggal di Basrah. Keduanya saling berutusan surat untuk bertanyakan tentang hal masing-masing. Pada suatu hari, saudara beliau telah mengutus surat dari Basrah kepada beliau yang pada masa itu tinggal di kota Baghdad. Dalam surat itu, saudara beliau telah menulis sebuah syair:
Kenyamanan udara kota Baghdad yang merindukanku,
Pergi mengunjunginya biarpun kemampuanku terbatas,
Betapakah kesabaranku kini padanya bila kan bertemu,
Dua kenyamanan udara berpanjangan dan berlalu amat singkat.
Dalam kitab Adab al-Qadhi jilid 1 halaman 22, dinyatakan
beliau berasal dari sebuah keluarga yang sememangnya sangat mementingkan ilmu
pengetahuan. Keluarga beliau sentiasa mengambil berat tentang pendidikannya dan
pengajiannya. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di kota Baghdad untuk
meluaskan pengajian di dalam bidang keilmuan.
Pada peringkat awalnya, semasa menuntut ilmu di Basrah, beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qasim Syaumiri, iaitu seorang ulamak yang terkenal di Basrah pada masa itu. Kemudian beliau berhijrah ke kota Baghdad dan tinggal di sana untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Imam Za’farani. Di sana beliau belajar hadis dan mengambil ilmu fiqh. Beliau juga berguru dengan Abu Hamid Isfaraini untuk melengkapkan keilmuannya.
Pada peringkat awalnya, semasa menuntut ilmu di Basrah, beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qasim Syaumiri, iaitu seorang ulamak yang terkenal di Basrah pada masa itu. Kemudian beliau berhijrah ke kota Baghdad dan tinggal di sana untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Imam Za’farani. Di sana beliau belajar hadis dan mengambil ilmu fiqh. Beliau juga berguru dengan Abu Hamid Isfaraini untuk melengkapkan keilmuannya.
Apabila telah mencapai satu taraf yang berkebolehan dan mempunyai ketokohan yang berketrampilan, beliau dibenarkan untuk mengajar ilmu pengetahuan yang telah dipelajari di kota Basrah dan Baghdad. Beliau juga berpindah ke bandar-bandar lain semata-mata untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agamanya sehinggalah beliau dilantik menjadi sebagai seorang qadhi di beberapa buah bandar. Tetapi akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk menetap di kota Baghdad untuk selama beberapa tahun.
Di sana, beliau telah mengajar
ilmu hadis, mentafsirkan al-Qur’an dan mengarang beberapa buah kitab. Kitab
karangannya yang banyak menunjukkan beliau sememangnya alim dalam bidang ilmu
hadis, feqh, sastera, nahu, falsafah, ilmu kemasyarakatan, politik dan ilmu
akhlak.
Beliau digelar sebagai qadhil
qudhat (ketua para hakim) pada tahun 429 Hijrah sehingga sebahagian daripada
ahli-ahli fiqh pada masa itu tidak bersetuju beliau digelarkan dengan nama itu.
Mereka mengatakan, tidak ada seorang pun yang layak untuk dinamakan dengan
gelaran itu. Walaupun begitu, beliau tetap dipanggil dengan gelaran tersebut
oleh sebahagian ulamak-ulamak pada masa itu. Buktinya, gelaran itu masih lagi
dikaitkan dengan nama beliau sehinggalah beliau wafat. Bahkan, gelaran itu
masih lagi termuat dalam kitab-kitab ulamak mutaakhirin, juga di dalam
risalah-risalah pengkaji keilmuan.
Di sepanjang beliau memegang
jawatan sebagai qadhi, beliau dapat mengetahui tentang perjalanan kehidupan
seharian orang-orang awam pada zamannya secara dekat. Beliau juga dapat
menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat kebiasaan seharian untuk
disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan qadhi, beliau telah
dinaikkan taraf kedudukannya di dalam tugas-tugas pentadbiran yang lebih
tinggi. Di dalam jawatan barunya itu, beliau dapat mendekati pemimpin-pemimpin
politik dan tokoh-tokoh pembesar kerajaan.
Di dalam kesempatan yang
diberikan itu, beliau dapat memberikan sedikit sebanyak tunjuk ajar kepada
pihak atasan di dalam peranannya untuk mengislah pentadbiran politik pada masa
itu bersesuaian dengan undang-undang Islam. Daripada pengalaman beliau ini, kita
dapat tahu beliau bolehlah dianggap sebagai seorang pemikir Islam yang dapat
mengubah struktur pentadbiran politik pada masa itu, sekaligus menjadi bukti
bahawa seorang pejuang kebenaran tidak seharusnya membiarkan pentadbiran
sesebuah kerajaan digelumangi dengan percaturan politik yang tidak berlandaskan
kepada panduan undang-undang Ilahi.
Akhlak dan Sifat Peribadinya:
Imam Mawardi sentiasa
beriltizam dan beristiqamah sepanjang menghayati segala aktiviti serta gerak
kerja kehidupan sehariannya. Beliau sentiasa mengarang dan menulis. Dengan itu,
peribadinya sentiasa sesuai dengan kedudukan keilmuannya dan ketinggian
keilmuannya.
Beliau juga terkenal sebagai
seorang yang sangat dipercayai kebenarannya di kalangan ahli-ahli feqh
bermazhab Syafie, seorang yang mulia dan tinggi kedudukannya di kalangan
ulamak. Beliau mempunyai fikiran dan pandangan yang terbuka dalam bermazhab dan
sentiasa mendalami di dalam setiap ilmu kajiannya. Beliau juga seorang yang
lemah lembut, sopan dan tersangat hebat dari segi keilmuannya. Oleh itu, beliau
sangat disenangi oleh pemerintah pada masa itu sehingga beliau sendiri mendapat
tempat istimewa di hadapan khalifah.
Beliaulah yang sentiasa menjadi
orang tengah dengan memberikan jalan penyelesaian sekiranya berlaku beberapa
perselisihan pendapat di antara pembesar-pembesar kerajaan, khalifah dan
rakyat. Beliau sangat mengambil berat tentang masalah mencari kebahagiaan di
dunia dan di akhirat untuk dinikmati oleh umum. Oleh itu, beliau mengarang
kitab ( أدب الدنيا والدين ) , di mana di dalamnya terkandung beberapa manhaj
untuk mengislah individu dan rakyat keseluruhannya.
Beliau juga terkenal sebagai
seorang yang berani untuk menegakkan hak dan kebenaran agama, walaupun beliau
berada di kalangan pembesar-pembesar negeri. Dalam satu peristiwa yang berlaku
pada tahun 426 Hijrah semasa bulan Ramadhan, khalifah telah memerintahkan agar
ditambah الأعظم شاه شاهين atau الملوك
مالكpada nama Jalalud Daulah ibn Buwaih. Tidak lama selepas itu, khalifah telah
memanggil Jalalud Daulah dengan gelaran itu. Sebahagian ahli fiqh pada masa itu
melarang penggunaan gelaran itu, lantaran gelaran itu hanya layak untuk Allah
SWT sahaja.
Al-Syaimiri memberikan fatwa,
penggunaan nama Malikul Muluk adalah bergantung kepada qasad dan niat
seseorang. Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Abu Thayyib al-Thabari,
menyebut gelaran Malikul Muluk semata-mata adalah diharuskan. Gelaran ini boleh
dimaknakan sebagai raja bagi segala raja-raja di bumi. Seterusnya, beliau
memberikan penjelasan, sekiranya seseorang itu boleh dipanggil dengan gelaran
qadhi qudhat, gelaran Malikul Muluk juga diharuskan penggunaannya. Pendapat Abu
Thayyib al-Thabari juga mendapat sokongan daripada al-Tamimi, salah seorang
ulamak bermazhab Hanbali.
Akan tetapi, Imam Mawardi tetap
bertegas dengan fatwanya yang mengatakan penggunaan gelaran Malikul Muluk
adalah dilarang sama sekali. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Imam
Mawardi adalah di antara orang yang terkenal di kalangan pembesar-pembesar Jalalud
Daulah. Selepas Imam Mawardi memberikan fatwa penggunaan gelaran Malikul Muluk
dilarang, beliau telah memutuskan hubungan dengan pembesar-pembesar negara.
Apabila Jalalud Daulah mengetahui keadaan yang sebenarnya, beliau pun memanggil
Imam Mawardi datang ke istana beliau. Imam Mawardi datang dengan rasa serba
salah, lantas Jalalud Daulah berkata kepada beliau, “Beta sekarang telah
mengetahui keadaan yang sebenarnya. Sekiranya kamu memberikan sesuatu kepada
seseorang, nescaya kamu juga memberikannya kepada beta, kerana hubungan yang
rapat antara kamu dengan beta. Kamu tidak akan membuat sebarang tindakan dan
memberikan fatwa sesuatu kecuali kerana menegakkan agama. Oleh yang demikian,
mulai dari sekarang kedudukan kamu akan menjadi lebih tinggi dari sebelum ini
di kalangan pembesar-pembesar negara.”
Sebagaimana apa yang telah
difatwakan oleh Qadhi Abu Thayyib al-Thabari di atas adalah mengikut qias ilmu
fiqh, sementara fatwa yang telah dikeluarkan oleh Imam Mawardi adalah
berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA
sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Nama seseorang yang paling
hina sekali pada hari kiamat kelak di sisi Allah Taala adalah menggunakan nama
gelaran Malikul Muluk.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan
Imam Bukhari. Di dalam sebuah riwayat yang lain pula Rasulullah SAW telah
bersabda yang bermaksud, “Kemurkaan Allah akan melampaui terhadap seseorang
yang menggunakan nama gelaran Malikul Muluk.” Ibnu Subki kemudiannya
menceritakan, selepas itu kebanyakan dari pemerintah kerajaan Bani Buwaih tidak
lagi menggunakan nama gelaran Malikul Muluk, kemudian nama gelaran itu sedikit
demi sedikit semakin hilang dari disertakan di awal nama-nama pemerintah
kerajaan tersebut.
Ibnu Hilkan di dalam kitab الأعيان وفيات jilid 2 halaman 444
menyatakan, Imam Mawardi mempunyai beberapa buah keramat. Sebahagiannya ialah
Imam Mawardi tidak menzahirkan segala karangannya semasa beliau masih hidup
lagi. Beliau telah menyimpan semua kitab tulisannya di sebuah tempat. Apabila
beliau merasakan dirinya akan meninggal dunia, beliau berkata kepada seseorang
yang dipercayai kebenarannya seraya menunjukkan kesemua kitab yang tersimpan di
tempat yang ditentukan adalah kitab hasil tulisan tangannya. Beliau tidak menzahirkannya
kepada umum semasa hayatnya, kerana beliau merasakan tidak ikhlas semasa beliau
mengarang setiap barisan tinta yang dimuatkan di dalam kitab-kitab susunannya.
Seterusnya, Imam Mawardi berkata kepada orang kepercayaannya, “Sekiranya aku
hampir akan menghembuskan nafas yang terakhir nantinya dan berada di dalam
keadaan yang nazak, kamu hendaklah meletakkan tangan kamu di atas tangan aku.
Sekiranya tangan aku menggenggam tangan kamu, Allah Taala tidak menerima segala
daya usaha aku ketika aku menyusun kesemua kitab karangan ini. Dengan itu, kamu
hendaklah campakkan semua kitab karangan aku ke dalam Sungai Dajlah pada waktu
malam. Sekiranya tangan aku terbuka luas dan tidak menggenggam tangan kamu,
segala karangan aku diterima Allah. Kini aku mengharapkan segala daya usaha aku
berasaskan kepada niat yang ikhlas kepada Allah Taala semata-mata.” Orang
kepercayaan Imam Mawardi menceritakan, “Bila Imam Mawardi hampir menghembuskan
nafas yang terakhir, aku pun meletakkan tangan di atas tangannya, aku dapati
tangannya terbuka luas. Justeru itu, aku tahu segala karangan beliau diterima
Allah Taala. Selepas itu, aku keluarkan semua kitabnya dari simpanannya untuk
aku sebarkan kepada umum.”
Ibnu Subki menukilkan daripada
Ibnu Khairun, anak murid Imam Mawardi, Imam Mawardi pernah berkata, “Mungkin
kitab al-Hawi ini yang tidak diterima Allah.” Ibnu Khairun meneruskan
ceritanya, “Aku lihat karangan-karangannya banyak sekali yang ditulis dengan
tangan. Sebahagiannya aku sendiri tidak dapat habis membacanya semasa beliau
masih hidup lagi.”
Sekiranya benar riwayat ini,
menunjukkan Imam Mawardi tersangat tawadhuk, tidak tertipu dan dapat menjauhkan
dirinya dari sifat-sifat megah serta berbangga diri. Beliau merasa takut segala
kitabnya tidak diterima Allah Taala Yang Maha Kuasa, kerana ditakuti tidak
disertai dengan niat yang teramat ikhlas kepadaNya.
Sebahagian dari sifat-sifatnya
ialah beliau berinteraksi dengan semua golongan masyarakat yang berada di
sekelilingnya dengan sifat hikmah dan mengikut keadaan suasana mereka, sentiasa
memelihara sifat berani untuk menuntut sesuatu yang hak, khususnya ketika
bermuamalah dengan orang jahil yang sentiasa menggambarkan menuntut ilmu adalah
sesuatu perkara yang tidak digalakkan agama. Apabila orang seperti ini melihat
alat-alat perkakas tulisan, mereka sentiasa akan menjauhkan diri. Bila mereka
melihat kitab-kitab karangan para bijak pandai, mereka sentiasa mengelakkan
diri untuk terus mengkajinya dengan lebih mendalam lagi. Imam Mawardi pernah
berkata, “Sebahagian orang yang tergolong dalam kelompok ini adalah terdiri
daripada orang yang mempunyai kedudukan yang tertinggi di dalam masyarakat dan
orang yang mempunyai nama serta pangkat besar. Aku tersangat takut untuk
mendekati mereka kerana aku sentiasa membawa alat-alat tulisan dan kitab. Aku
tidak mahu menyusahkan mereka. Apabila aku menjauhkan diri dari mereka, aku
merasa tenang dan sentiasa di dalam kebaikan. Apabila aku mendekati mereka, aku
merasa sentiasa berada dalam keburukan dan kefasadan.”
Sebahagian dari para gurunya
ialah Abu Qasim Abdul Wahid Syaimiri, Abu Hamid Ahmad Isfaraini, Syeikh Imam
Abu Muhammad Bafi, Hassan Jabali, Ibnu Marastani Baghdadi, Muhammad ibnu Adi
Minqara, Hussain ibnu Ali Karabisi, Abu Ibrahim Ismail Muzani, Ibnu Suraij, Abu
Said Asthokhori, Muhammad ibnu Ali Qaffal dan Abu Ishak Ibrahim Maruzi.
Sebahagian daripada anak-anak muridnya ialah Khatib Baghdadi, Ibnu Khairun,
Abdul Malik bin Ibrahim Maqdisi, Ibnu Aribah, Ibnu Kadis Akbiri, Abu Bakar
Khilwani, Abu Mansur Qusyairi, Abu Mansur Abdul Wahid Qusyairi, Abu Muhammad
Abdul Ghani Basyrie, Abu Hassan Abdari dan Ruyani. Sebahagian daripada
kitab-kitab karangannya ialah Iqna’, Amthalul Qur’an, Kafi Fi Syarhi
Mukhtasaril Muzani, Muqtarin, Ahkamus Sultaniah, Adab Qadhi, A’lamun Nubuwwah,
Tashilun Nazar, Nasihatul Muluk, Amthalu Walhikam, Hawi Kabir dan kitab Adab
Takallum.
Imam Mawardi di
kalangan ahli Fikir Islam:
Sebagaimana yang jelas kepada
kita sebelum ini, Imam Mawardi telah mencapai darjat ketinggian dari segi
keilmuan Islam. Beliau mengatasi semua tokoh ulamak mazhab Syafie pada masanya,
sehinggalah semua ulamak pada masa itu memandangnya sebagai seorang yang
mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi. Kebanyakan tokoh pada masa itu
seingkali mengambil pendapatnya kerana mereka menganggap Imam Mawardi adalah
seorang ulamak yang bertaraf mujtahid dan mempunyai banyak ilmu yang dihafaz.
Dengan sebab ini, Imam Mawardi mampu untuk meluaskan feqh mazhab Syafie dan
menambahkan cabang-cabang ilmu mazhab dengan kemampuan ijtihadnya. Begitulah
keadaan Imam Mawardi yang dianggap sebagai sebuah lautan yang mempunyai
keilmuan luas yang mampu mencurahkan ilmunya dan mentafsirkan pengetahuannya
sesuai dengan peribadinya yang mulia, di samping dengan kedudukan beliau dari
segi keilmuannya dan pengetahuannya.
Orientalis dan Imam Mawardi:
Imam Mawardi mempunyai nasib
yang amat baik sekali kerana para orientalis sendiri terpegun dengan
karangannya terutama sekali kitab beliau yang bernama Ahkamus Sultaniah. Malah
mereka seringkali mendapatkan kesan keilmuannya dengan secara mengkaji,
memutalaah, mentahkik dan menta’lik. Sehinggakan sebahagian ulamak berpendapat,
kitab Ahkamus Sultaniah adalah setanding dengan buku Siasah karangan Aristotle
dalam bidang ilmu pemerintahan, sekiranya kitab karangan Imam Mawardi itu
dijadikan bahan rujukan di negara-negara Islam, sementara buku Siasah pula
dijadikan bahan rujukan di bandar-bandar di negara Yunani. Malah seorang
orientalis berbangsa Jerman yang bernama Enger telah mencetak kitab Ahkamus
Sultaniah karangan Imam Mawardi di bandar Bone, Jerman pada tahun 1853 Masihi.
Kedudukan Imam Mawardi Dari Segi
Keilmuan dan Pengetahuan:
Imam Mawardi sendiri telah
mengarang kitab dalam bidang politik dan pemerintahan Islam sebanyak 4 buah
kitab, ditambah dengan kitab الكبير الحاوي
yang menceritakan tentang keseluruhan kefahamannya sesuai dengan mazhab Syafi’i.
Kitab-kitab itu ialah Ahkamus Sultaniah, Adab Wazir, Nasihatul Muluk dan
Tashilun Nazar. Setiap kitab mempunyai tajuk tersendiri, walaupun ada tajuk
yang hampir-hampir sama iaitu tajuk yang membincangkan tentang masalah
perundangan, perekonomian dan kemasyarakatan.
Semua karangannya sesuai dengan
peristiwa semasa, malah berusaha untuk mengolah hukum syarak disesuaikan dengan
masalah baru yang tidak pernah wujud sebelumnya. Ini menunjukkan beliau
mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pentadbiran
pemerintahan, kerana suasana yang kacau bilau yang melanda semasa hayat beliau.
Oleh itu, beliau berusaha memberi nasihat kepada pihak yang sentiasa berebutkan
jawatan dan pangkat duniawi dalam kerajaan Buwaih, kerajaan Salajikah dan
kerajaan kecil lainnya.
Sekalipun Imam Mawardi berusaha
menyebarkan kefahamannya dalam mazhab Syafi’i, beliau tidaklah mengenepikan
sesuatu pendapat yang tidak diiktikadnya. Beliau tidak pernah melupakan
peribadi guru yang pernah mendidiknya, sekalipun berlainan mazhab dengannya,
bahkan sentiasa mengamalkan kebebasan berfikir selagi tidak bercanggah dengan
prinsip Islam itu sendiri.
Ketika berbincang dengan ulamak
semasa, beliau sentiasa menggunakan sumber ilmu Islam. Beliau mengutamakan
masdar kitab al-Qur’an, kemudian bersandarkan kepada Hadis Nabawi.
Daripada semua keterangan yang
disebutkan, kita boleh membuat kesimpulan, Imam Mawardi layak digelar sebagai
qadhi qudhat, kerana beliau merupakan orang yang paling bersederhana antara
taklid dan berijtihad. Daripada kitab karangannya, beliau dikelaskan sebagai
ulamak yang banyak karangannya setanding dengan Imam Tabari, Mas’udi, Imam
Ghazali dan Ibnu Rusd.
Sumber: http://ajuncell.blogspot.com/2011/03/imam-mawardi.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan