Isnin, 16 November 2015

Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan (1917-2014)


Pada hari Isnin 27 Januari  tahun 2014 bersama 25 Rabiul Awwal 1435H,  dunia telah kehilangan seorang tokoh ulama,  pemikir Islam yang hebat, iaitu al-‘Allamah al-Syaikh Dr Abdul Karim Zaidan bekas Muraqib Aam bagi jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Beliau telah meninggal dunia di bandar San’aa’, ibu negara Yaman. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran, tarbiah, pengajaran dan penulisan.

Beliau yang berasal dari Iraq meninggal dunia ketika umurnya 97 tahun. Beliau telah menetap di Yaman dan mengajar di Universiti Iman semenjak tahun 90an. Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan terkenal sebagai tokoh dakwah dan pemikir Islam, menjadi pakar rujuk dan telah menulis puluhan karya dalam perundangan, syariah dan pendidikan Islam. Syeikh Abdul Karim juga dianggap sebagai seorang ulama yang hebat, berani mempertahankan Islam dalam apa-apa isu dan sangat menitikberatkan kesatuan rakyat Iraq.

Kematian Syeikh Abdul Karim merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam sedunia secara umum, dan kepada bumi Iraq secara khusus kerana usaha beliau yang tidak pernah jemu dalam menghadapi penjajahan Amerika yang mengancam kedaulatan bumi Iraq.

Biografi Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan

Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Baghdad. Pendidikannya bermula di pusat-pusat pengajian Al-Quran di masjid-masjid di kampungnya. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di Fakulti Undang-undang di sebuah universiti di Baghdad. Selepas itu beliau menyambung pengajian sarjananya di Universiti Kaherah dan berjaya mendapat keputusan Imtiaz. Pada tahun 1962, beliau berjaya mendapat keputusan Imtiaz tahap pertama dalam pengajian doktor falsafah di universiti yang sama.

Semasa berada di Maahad Syariah Islamiyah di Universiti Kaherah, beliau mengikuti pengajian khas dalam Fiqh Islami dan rujukan utamanya ialah buku-buku Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Beliau juga menyertai pengajian dan perbincangan-perbincangan fiqh semasa.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah dan Ketua Jabatan Syariah Islamiyah di Fakulti Undang-undang di Baghdad, kemudian menjadi Ketua Jabatan Agama di Fakulti Adab Universiti Baghdad. Selepas itu menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Fakulti Pengajian Islam lalu menjadi dekan di fakulti tersebut.

Pada 1992, beliau meninggalkan Iraq dan dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Jabatan Pengajian Islamiyah dan pensyarah pengajian sarjana dan doktor falsafah di Universiti San’aa’ dan kekal di universiti itu sehingga meninggal dunia. Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Iman di San’aa’.

Sejak tahun 70an, beliau dilantik menjadi anggota beberapa majlis ulama dan majlis fiqh Islami sedunia. Beliau telah dikurniakan anugerah khas Raja Faisol Arab Saudi di atas penulisannya yang hebat iaitu “al-Mausu’ah” atau Ensiklopedia berkenaan hukum-hakam wanita dan baitul muslim. Beliau juga telah menulis banyak karya ilmiah yang hebat, banyak di antaranya telah dijadikan silibus universiti-universiti.

Beliau sangat mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu haripun beliau tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal keadaan mereka. Beliau merupakan insan yang sangat zuhud. Tidak mementingkan pangkat dan jawatan. Tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah dan ketua-ketua negara. Jauh daripada sifat ria' dan mengada-ngada. Waktu-waktunya dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuan dan mengajar. Tidak berlalu satu saatpun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.

Karya-karya peninggalan Syaikh Dr Abdul Karim Zaidan ;

Antara hasil penulisan beliau ialah:

a.  Ahkam al-Zimmiyyin wa al-Musta’minin fi dar al-Islam
b.  Al-Madhkal li Dirasah as-Syari’ah al-Islammiyyah
c.  Al-Kifalah wa al-Hiwalah fi al-Fiqh al-Maqarin
d. Kitab al-Usul ad-Da’wah
e. Al-Fard wa ad-Dawlah fi as-Syari’ah
f. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah
g. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh
h. Al-Wajiz fi Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah
i.  Syarh al-‘Iraqi lil Usul al-‘Isyriyyin
j.  Nazarah fi Syari’ah al-Islamiyyah
k. Al-Mustifat min Qasas al-Quran al-Karim lil Da’wah wa al-Da’ah
l.  Al-Sunan al-Ilahiyyah fi al-Umam wa al-Ifrad wa al-Jama’at


Semoga Allah memasukkan beliau dalam golongan para anbiya’ dan solihin dan diharapkan akan lahir lebih ramai ulama yang hebat seperti beliau untuk memenangkan agama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan