Memaparkan catatan dengan label qurra. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label qurra. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Mei 2012

Imam Ibn al-Jazari (751-833)

Perkara  penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.

Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.

Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.

Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.

Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.

Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.

Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.

Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.

Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya’qub dan Khalaf al-’Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.

Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.

Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab’ah.

Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani (444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy (591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.

Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.

Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.

Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.

Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: “Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah”.

Sumber:   http://faizsolehan.wordpress.com/2011/06/30/ibn-al-jazari/

Sabtu, 28 April 2012

SYAIKH MAHMUD KHALIL AL-HUSHARI (1917 – 1980)


Beliau merupakan qari terkenal dari Mesir. Beliau digelar Faris Qira-at al-Asyr kerana kefakarannya dalam ilmu al-Quran dan Qira-at  al-Asyr ( iaitu sepuluh bentuk bacaan al-Quran ). Syaikh al-Hushari dilahirkan di kampung Syubra al-Namlah di bandar Thantha Mesir pada 17 September 1917.

Pendidikan;

Syaikh al-Hushari  mula mempelajari al-Quran di Kuttab yang terdapat di kampungnya. Beliau berjaya menghafaz al-Quran ketika berusia lapan tahun. Beliau meneruskan pembelajaran al-Quran di Kuttab tersebut dengan mendampingi gurunya. Beliau sentiasa menemani gurunya ke masjid untuk membaca al-Quran al-Karim. Kepandaian dan kemerduan suaranya ketika membaca al-Quran telah menarik perhatian orang ramai, hingga mereka menggesa beliau menyertai pertandingan tilawah al-Quran.  Ketika umurnya 12 tahun, bapanya telah memasukkannya ke sebuah sekolah agama di Bandar Thantha. Beliau belajar di sekolah ini hingga tamat peringkat menengahnya.

Apabila tamat persekolahan  menengahnya, beliau telah memasukki Universiti al-Azhar dengan pengkhususan dalam bidang al-Qir-at al-Asyr. Beliau berjaya memperolehi ijazah  Ilmu al-Qira-at   pada tahun 1958.

Kegiatan dan sumbangan

Pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai pakar rujuk dan pentashih mashaf al-Quran oleh Masyikhah al-Azhar  di  Lujnah Muraji-‘ah al-Masha-hif wa Tashhihuha. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Lujnah, dan pada tahun 1962, beliau telah dilantik sebagai pengerusinya.

Beliau merupakan orang yang pertama mencadangkan penubuhan Niqabah Li  Qurra’  al-Quran al-Karim ( Persatuan Qurra’ al-Quran ), bagi menjaga kemaslahatan dan menjamin kehidupan mereka. Beliau juga mencadangkan penubuhan institusi-institusi Tahfiz al-Quran di setiap bandar dan kampung . Beliau telah telibat secara langsung dalam penubuhan kebanyakan institusi Tahfiz al-Quran sama ada di Mesir maupun di negara sekitarnya.
Pada tahun 1960, beliau telah dipilih sebagai qari  bagi pembukaan Muktamar Islam yang pertama di India,  yang mana muktamar tersebut dihadiri oleh pembesar-pembesar dari negara-negara Islam, di antaranya Jamal Abdul Nasir ( Presiden Mesir ) dan Jawaherlal Nehru ( Perdana Menteri India ).

Pada tahun 1961, beliau telah dipilih sebagai Syaikh al-Maqari’ al-Misriyyah( Ketua  Umum Para Qurra’ Mesir ).

Pada tahun 1965, ketika beliau melawat Perancis – seramai 10 orang rakyat Perancis telah memeluk Islam selepas mereka mendengar bacaan al-Quran dan  menghadiri sebahagian kuliah pengajaran.

Pada tahun 1966, beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Rabithah Qurra’ al-‘Alami al-Islami  ( Pertubuhan Qurra’ Antarabangsa ) di Muktamar (Iqra’ ) yang diadakan di Karachi Pakistan. 

Pada tahun   1967, beliau menerima Wasam al-‘Ulum wa al-Funun dengan pangkat pertama pada Hari ‘Iyd al-‘Ilm  bagi tahun 1967.
Pada tahun 1977,  Dalegasi dari negara Arab dan Islam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjemput beliau membaca al-Quran dalam bangunan pertubuhan tersebut.

Pada tahun 1978, ketika melawat Britain beliau telah    memperdengarkan bacaan al-Quran di Dewan Diraja Britain dan Dewan Hayurat yang terletak merentangi Sungai Tayamar di London.

Beliau telah mewasiatkan 1/3 daripada harta peninggalan untuk diinfaqkan ( dibelanjakan ) bagi perkara kebajikan dan bagi pengurusan dua masjid iaitu sebuah masjid di Masqath  ( Thantha ) dan sebuah masjid di Kaherah.

Karya Penulisan ;

Di antara karya peninggalan Syaikh al-Hushari ialah ;
  1. Ma-‘al al-Quran
  2. Ahkam Tilawah al-Quran al-Karim
  3. al-Qira-at al-‘Asyr Min al-Syatibiyyah wa al-Durrah
  4. Ahsan al-Athar Fi Tarikh al-Qurra’ al-Arba-‘ah ‘Asyar
  5. Ma-‘alim al-Ihtida’ Ila Ma’rifah al-Waqf wa al-Ibtida’
  6. Riwayah Warasy ‘An al-Imam Nafi’ al- Madani
  7. Nur al-Qulub Fi Qira-ah al-Imam Ya’qub
  8. al-Sabil al-Muyassir Fi Qira-ah al-Imam Abi Ja’far
  9. Riwayah al-Dawri ‘An Abi Amru bin al-‘Ala’ al-Bashri
  10. Riwayah Qalun ‘An Nafi’
  11. al-fath al-kabir Fi al-Isti-‘azah wa al-Takbir.
  12. Rihlati Fi al-Islam
  13. al-Nahj al-Jadid Fi ‘Ilm al-Tajwid.
Kewafatan ;

Setelah banyak menyumbangkan jasanya kepada dakwah dan perkembangan Islam, khususnya dalam tilawah al-Quran, beliau telah kembali kerahmatullah  pada 24 November 1980.