Sekali
merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat
peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun
sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek
pengajaran.
Antara
ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima
pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.
Nama
penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau
lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.
Imam
Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa
disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah
Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada
tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam
al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.
Dalam
ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad
yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama
ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari
menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.
Di
Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah
Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat
Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.
Beliau
juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah,
beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah
Muhammad Ibn Salih al-Khatib.
Setelah
menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam
bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn
al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar,
Ya’qub dan Khalaf al-’Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan
Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324
Hijrah.
Serentak
dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah
al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk
al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy
melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap
rangkap syairnya dengan huruf lam.
Sebelum
Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat
yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn
Mujahid melalui kitabnya al-Sab’ah.
Pendapat
ini didokong kuat oleh Imam al-Dani (444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir.
Apabila Imam Syatibiy (591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir
karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat
Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.
Namun
hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian
berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga
Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam
terima dan mengamalkannya.
Tiga
Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn
Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai
kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi,
Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.
Sehingga
ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat
pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat
tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.
Ramai
ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata:
“Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai
kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului
barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut
lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif
tentang al-Quran dan sunnah”.
Sumber: http://faizsolehan.wordpress.com/2011/06/30/ibn-al-jazari/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan