Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok
Kenali (1868 – 1933) ialah seorang tokoh tokoh ‘Ulama’Ulung , guru agama Islam yang agung, tokoh pembangun
pemikiran umat Islam di dunia dan
pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, di awal
abad ke-20. Beliau seorang Alim Rabbani yang dalam hidupnya banyak berpandukan kitab Suci Al-Quran disamping
Sunnah Nabi Muhammad Shallallaahu alaihi wasallam. Beliau disebut juga sebagai
seorang yang memilih hidup sederhana dan juga seorang wali keramat dan mendapat
ilham daripada Allah dan ilmu laduni
(Ilmu Kurniaan Ilahi tanpa belajar).
Tok Kenali - Tokoh Besar Ulama Kelantan |
Bagi seseorang
yang mengkaji sejarah tanah air, lebih-lebih lagi menyelidiki “sejarah
kelantan’ maka dia secara langsung atau tidak, akan menemui nama Tuk kenali’.
Mengikut perkembangan sejarah, Tuk Kenali adalah merupakan seorang pembangun
fikiran umat Islam di dunia sebelah sini menerusi pengajaran kepada murid-murid
yang bertebar pada beberapa tempat di Alam Melayu, juga melalui
fikiran-fikirannya yang membina menerusi majalah “Pengasuh”, keluaran Majlis
Agama Islam dan Adat istiadat Melayu kelantan dan majalah “Al-Hikmah” sebuah
majalah pengatahuan yang antara lain yang sedang bersemarak di masa ini.
Sesuatu perkara
yang menarik perhatian kita ialah perjuangan dan penghidupan Tok Kenali adalah
agak nyata. Beliau banyak menerima pengaruh dari ajaran-ajaran Failasuf islam
Al-Iman Ghazali , (1058-1111M) seorang pembangun dan pembina fikiran umat Islam
yang banyak membuat pembaharuan dalam acara mengupas soal-soal agama
berdasarkan ajaran-ajaran kitab suci Al-Quran dan hadis di samping memperoleh
ilmu ladunni di zaman silam. Melihat kepada perjuangannya, kita mendapati cara
perjuangannya hampir-hampir sama dengan perjuangan Syaikh Muhammad Abduh
(1849-1905M), seorang pembawa pembaharuan pemikiran umat Islam yang meletakkan
kitab Al-Quran sebagai asas perjuangannya dan perjuangannya adalah secara
melyeluruh menyedar dan membina masyarakat dalam aspek hidup, agama, ilmu
pengatahuan, politik, sosial ekonomi dan lain-lain yang secara kebetulan di
masa Tuk kenali berada di kota Suci Makkah dan semasa beliau melawat ke Mesir 1322H (1904M) merupakan
akhir zaman Syaikh itu.
Untuk
selanjutnya marilah sama-sama kita mengikuti garis-garis perjuangan beliau dan
cebisan riwayat hidup beliau sebagai berikut:
Kelahiran Tok
Kenali
Beliau dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira
pada tahun 1287H (1870M*) dengan nama Muhammad Yusof (pernah disebut sebagai
Awang sahaja) iaitu di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886M).
Bapanya seorang petani bernama Ahmad, manakala Fatimah, ibunya adalah seorang
insan yang sopan dan bercita-cita tinggi dan murni.
Latar
Belakangnya
Muhammad Yusoff
dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, dan ini
adalah membentukkan sifat peribadinya yang tidak menonjol. Bapanya seorang
petani manakala ibunya bagaimana kebiasaan orang-orang di kampungnya adalah
bekerja menolong pekerjaan suaminya.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negeri, Muhammad
Yusof telah mula belajar pada datuknya sendiri Encik Salleh (Tok Leh) iaitu
dalam pelajaran membaca kitab suci Al-Quran dan pelajaran tulis-menulis.
Sesudah itu dia menyambungkan pelajaran ke masjid Besar Al-Muhammadi, Kota
Bharu dan tempat-tempat pengajian lain di sekitar kota Bharu dalam pelajaran Bahasa Arab, nahu,
saraf juga pengetahuan agama.
Isterinya ialah Cik Ruqayyah Mahmud. Beliau dikurniakan empat orang anak, iaitu Ahmad, Muhd Shaalih, Mahmud dan Abdullah
Zawaawi.
Perlu disebutkan bahawa datuknya adalah seorang yang lebai,
warak, mempunyai sedikit sebanyak ilmu-ilmu agama untuk panduan hidup, seorang yang mempunyai kesedaran,
mematuhi peraturan-peraturan agama dan gemar berbuat ibadat semata-mata mencari
keredaan Allah.
Bapanya meninggal dunia sewaktu umurnya baru meningkat 5
tahun. Beliau dilantik di bawah pengawasaan datuknya menyebabkan pengaruh
bapanya kurang terasa dalam corak hidupnya. Di samping itu, nenek perempuan
tirinya, Tuk Mek ngah turut memberikan pendidikan yang baik kepadanya termasuk
pengawasan terhadap punca-punca makanan yang hendak disajikan. Menurutnya
pengaruh-pengaruh makanan-makanan yang haram adalah membawa akibat yang buruk
dalam penghidupan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat.
Kebolehan Luar Biasa
Kecenderungan Tuk Kenali dalam pelajaran adalah nyata sejak
kecil lagi. Perasaan ingin maju dan ingin tahu adalah meluap-luap di dadanya.
Dalam tempoh yang pendek dia telah dapat mengkhatami pembacaan kitab suci
Al-quran dan dapat menulis dengan baik. Kerana itu tidaklah hairan mengapa dia
telah dipilih oleh penggawa daerahnya untuk menjadi seorang kerani sebagai
pembantunya dalam mengira dan menguruskan hasil-hasil tanaman dan kebun di
kawasan tersebut sewaktu dia berusia antara tujuh ke lapan tahun.
Dalam beberapa laporan lain, misalnya laporan dari salah
seorang penduduk Kubang Kerian yang menceritakan pada wartawan Majalah Tiga yang
ditayangkan pada Sabtu, 13 Jun 2009.Pemuda itu menceritakan bahawa ayahnya
telah menceritakan kepadanya tentang kisah kebolehan Tok Kenali.Bapanya
mencritakan bahawa pada suatu ketika,di sebuah kampung di Kelantan,terdapatnya
beberapa masyarakat Melayu Kelantan lama yang suka menyabung ayam dan menyabung
lembu,keadaan pesta menyabung itu sangat bising dan hiruk pikuk lantaran
keasyikan masyarakat yang suka pada perbuatan menyabung haiwan,(pada kebiasaannya
perbuatan menyabung haiwan dapat menyebabkan masyarakat penyabung terdedah
dengan kegiatan judi dan pergaduhan).Oleh demikian,Tok Kenali dan beberapa
orang kampung telah terganggu akan kebisingan pesta sehinggakan Tok Kenali pada
waktu itu beranggapan dan melafazkan bahawa terdapatnya rumah terbakar
dikampung itu.Dengan kuasa Allah, pada petang hari pesta menyabung itu
juga,kebanyakan dari rumah-rumah penyabung haiwan itu telah dijilat api
keseluruhannya. Maka begitulah kekuasaan Allah SWT terhadap hambanya yang
beriman dan ingkar.
Menyambung Pelajaran Ke Kota Bahru
Sewaktu berusia antara sembilan ke sepuluh tahun, Muhammad
Yusof telah mengambil langkah bagi menyambung pelajarannya ke Kota Bharu.
Tempat pertama yang ditujunya ialah ke masjid Al-Muhammadi, di mana terdapat
beberapa orang guru agama dan beratus-beratus orang murid dari seluruh ceruk
Negeri Kelantan menyembung pelajaran mereka ke sini. Sekitar masjid besar ini,
dewasa ini penuh dengan pondok-pondok (asrama) penuntut.
Dalam masa menuntut di sini beliau berguru kepada Tuan Haji
Wan Ismail (ayahnda Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Kelantan, Dato' Nik
Mahmud) Beliau belajar bersama-sama Encik Idris yang kemudiannya menjadi “Mufti
Kerajaan Kelantan”’ Selain iatu beliau berguru kepada Tuan Guru Hj. Ibrahim,
penambang (Mufti kerajaan Kelantan) Syaikh Muhammad Ali bin Ab. Rahman (Wan
Ali) Kutan dan kepada Tuan Guru Padang (Hj. Ahmad) Kota Bharu.
Melanjutkan Pelajaran Ke Tanah Suci Mekah
Sebagai seorang pelajar, Tok Kenali telah menaruh cita-cita
yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah. Pada tahun 1887M (1305H). Menjelang umurnya kira-kira 18
tahun, Tok Kenali menjejak Tanah Suci Mekah untuk meninggikan pelajaran
agamanya di samping menunaikan rukun islam yang kelima, ibadat Haji iaitu
sesudah enam bulan mengalami kesusahan di Lautan Hindi disebabkan kerosakan
kapal yang ditumpanginya.
Penghidupan Tok Kenali di Tanah Suci Mekah
Pemergian Tok Kenali ke Tanah Suci Mekah adalah semata-mata
atas bantuan daripada sahabat dan kenalan beliau di Kota Bharu yang berjumlah
kira-kira RM50.00 dan sumbangan daripada ibunya cuma berjumlah RM22.00.
Kesukaran yang di hadapi Tok Kenali di rantau orang tidak dapat digambarkan
lagi. Hampir tujuh bulan beliau di sana tanpa tempat kediaman yang tetap.
Semasa itu beliau menginap di serambi Masjidil Haram, Mekah, dan hanya dapat
tidur serta berehat-rehat bila menjelang sesuku malam disebabkan Masjidil Haram
merupakan pusat ibadat tawaf, sa’i, sembayang dan sebagainya.
Pakaiannya sederhana, begitu juga tentang pemilihan
makanannya untuk menampung kekosongan di waktu pagi dan petang. Memandangkan
kedudukan ini, beliau pernah ditugaskan menjadi tukang masak sementara dalam
sesuatu perkelahan atau antara kawan-kawannya di wadi-wadi (lembahan) dan di
pinggir-pinggir bukit-bukit nan tandus.
Perkembangan Pelajaran
Sebelum beliau keluar negeri dahulu, beliau telahpun
mempunyai pengetahuan-pengetahuan asas dalam pelajaran-pelajaran yang telah
dipelajari ketika itu . Beliau telah pun menguasai pengetahuan bahasa arab
(Nahu dan Sarafnya) bagi mengikuti setiap segi jurusan pengetahuan agama di
masa itu. Perkara-perkara ini adalah melayakkan Tuk Kenali untuk menerima dan
mengikuti pelajaran-pelajarannya yang sedang berkembang dewasa ini di Tanah
Suci Makkah.
Tuk Kenali terpaksa belajar mendengar sahaja tanpa kitab.
Di samping itu juga beliau terpaksa membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta
izin tuan-tuan kedai itu untuk membaca dan menatap kitab-kitab jualannya dalam tempoh
yang agak lama dengan cara yang cermat sekali. Kitab-kitab Wakaf yang ada dalam
simpanan di Masjid Al-Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah
gurunya . Selain itu, Tuk Kenali terpaksa pula meminjam kitab-kitab gurunya
sendiri. Kerana kemiskinanlah agaknya , membawa Tuk Kenali mengharungi lautan
ilmu dan kemajuan melebihi kawan-kawannya yang lain.
Jelaslah bahawa Tuk Kenali banyak sekali membaca dan
menatap kitab-kitab buah tangan ulamak dan para failasuf islam yang telah dan
sedang tersebar di dunia islam dewasa itu. Beliau juga mempunyai sifat suka
bertanya dan mengkaji pelajarannya sebelum pelajaran itu di ajar oleh gurunya
dengan mengadakan perbandingan-perbandingan sendiri dan pergalaman sendiri.
Banyak membaca dan banyak membuat kajian adalah merupakan faktor-faktor besar
dalam perkembangan ilmu seseorang pelajar atau siswa.
Antara guru-guru di Masjid yang namanya banyak
disebut-sebut oleh Tuk Kenali ialah Tuan Guru Wan Ahmad atau nama penuhnya Wan Ahmad bin
Muhammad Zain yang terkenal sebagai
seorang pengarang sesudah nama Syaikh Daud Patani. Kepada Guru inilah Tuk
Kenali mendapat bimbingan dan bantuan baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun
penghidupan. Disamping itu, terdapat beberapa orang guru dari patani dan
indonesia yang mungkin mendapat perhatian Tuk kenali disamping guru-gurunya
yang terdiri daripada orang-orang Arab.
Lawatan Tok Kenali ke Mesir
Dalam tahun 1904M, Tok Kenali telah melawat Mesir bersama
Tuan Guru Wan Ahmad, Encik Nik Mahmud (yang kemudiannya bergelar Datuk Perdana
Menteri Paduka Raja Kelantan) dan Hj. Ismail Patani. Garis-garis kasar lawatan
ini adalah menunjukkan bahawa lawatan beliau ke Mesir adalah berbentuk lawatan
sambil belajar terutama kerana mengkaji hal-hal perkembangan pelajaran yang
berhubung dengan Agama Islam di Universiti Al-Azhar dan lain-lain tempat
pengajian di sekitar kota Kahirah.
Pulang ke Tanah Air
Pada tahun 1909M (1327 H) iaitu sesudah menjalani pengajian
selama 22 tahun di tanah suci mekah, maka Tuk kenali pun pulang ke tanah air
iaitu ke Kelantan seterusnya pada tahun 1911M (1329M) beliau mula membuka
pondok Kenali, sebuah tempat pengajian yang kemudiannya menjadi pusat pengajian
agama di semenanjung ini. Dua tahun kemudian , beliau menjadi guru di masjid
Besar Al-Muhammadi, kota Bharu yang waktu itu menjadi pusat pengetahuan agama
terbesar di kelantan, malahan juga dikenali di Semenanjung sebagai Serambi
Mekkah.
Murid-murid dari seluruh kelantan telah membanjiri
pondok-pondok yang terletak berderet-deret di sepanjang jalan di kawasan masjid
dan di kawasan Kubang Pasu. Selain itu, bukan sedikit murid-murid dan
pelajar-pelajar dari luar negeri datang yang menceduk pengetahuan agama
daripada guru-guru yang terkenal . Selain daripada Tuk kenali, mereka belajar
pada Tuan Guru Hj. Nik Abdullah, Tuan Guru Hj.Idris (yang kemudiannya
berjawatan “Mufti kelantan) dan lain-lain.
Memandang hak-hak kemasyarakatan di kampung sendiri perlu
pula dititik beratkan, maka Tuk kenali terpaksa pula menetap di kampungnya
sendiri iaitu sesudah lima tahun mengajar di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dewasa
itu pondok kenali kembali bersemarak sehingga namanya termasyur ke serata ceruk
rantau Semenanjung ini, malah sampai ke Indonesia (terutama Sumatera) kemboja,
Patani dan lain-lain. Jumlah pelajar-pelajar yang menetap di asrama (Pondok)
meningkat 400 orang suatu jumlah yang besar dalam pertumbuhan pengajian Islam
dikala itu.
Dalam menjalankan tugasnya, Tuk kenali menetapkan beberapa
buah kitab pelajaran (teks) dalam berbagai-bagai jurusan, iautu pengajian
Bahasa dan pengetahuan-pengetahuan Agama islam dalam berbagai-bagai peringkat
pelajaran. Beliau sendiri banyak mengambil peranan dalam mengembangkan
pengetahuan Bahasa Arab, manakala pelajaran-pelajaran lain diperkembangkannya
selaras dengan kehendak-kehendak masyarakat dewasa itu. Murid-murid beliau yang
telah matang dalam pengajiannya dilantiknya menjadi kepala telaah (guru Kumpulan)
disamping itu, kitab-kitab agama dalam tulisan jawi diajarkan juga kepada
pelajar-pelajar dan orang-orang kampung. Menerusi pengajian-penjagian kepada
orang-orang dewasa inilah lahirnya cerita-cerita tauladan yang kadang-kadang
mengggelikan, sebagai suatu cara untuk menarik perhatian murid-murid kepada
pelajaran yang sedang ditumpukan. Suatu hal yang agak luar biasa bahawa dalam
masa mengajar itu, Tuk kenali mengajar tanpa kitab, di hadapannya tiada
kitab-kitab pelajaran sedangkan muridnya mempelajarinya dengan menggunakan
kitab. Ililah menunjukkan bahawa Tuk kenali adalah seorang yang mempunyai daya
ingatan yang kuat.
Kemasyuhuran Tuk kenali telah menarik ramai pelajar Islam
dari serata ceruk semenanjung. Antara mereka ini ada yang telahpun mempunyai kematangan
dalam pengetahuan Agama islam datang untuk mengenal wajah dan mengikuti
sebahagian pelajaran yang diajar oleh Tuk Kenali. Antara mereka ada yang datang
kira-kira seminggu, sebulan, tiga atau empat tahun seterusnya. Ini bergantung
kepada keadaan masing-masing, sebab di antara mereka ada yang sudahpun bekerja
sebagai guru agama. Qadi atau sebagainya. Untuk meminta Tuk Kenali membaca
kitab, cukuplah dengan meminta izin beliau di mana si peminatnya sendiri yang
akan disuruh membacanya di hadapan kumpulan pelajar-pelajar. Sesudah itu Tuk
kenali memainkan peranan memberi kefahaman dan mensyarahkan isi kitab itu, juga
memberi peluang-peluang bertanya.
Menghembus Nafas Terakhir
Setelah kira-kira 65 tahun menyedut udara dunia ini, maka
Tuk kenali pun dipanggil tuhan, kekasihnya iaitu pada Ahad 19 November 1933M,
berikutan suatu penyakit di kakinya. Majalah “Pengasuh” keluaran 11 disember
1933M. Mencalitkan berita tentang kematian Tuk kenali antara lain berbunyi;
“ kembali ke Darul-Baqa 1352 yang meredupkan alam Kelantan
dendan dukacita. Innalillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun:.“Hari wafatnya;
dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan disembahyang jenazahnya
lebih daripada 1,000 orang dan disembahyang jenazahnya lebih seribu orang yang
khalis liwajhillaahi Ta’ala.
Tuk Kenali dikebumikan di perkuburan yang sekarang terkenal
dengan nama Kubur Tuk Kenali’ kilometer 5 jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, tidak
jauh dari istana negeri. Kuburnya selalu dizarahi oleh Duli yang maha Mulia
Al-marhum Sultan Ibrahim (nenekanda kepada Duli Yang mulia Sultan Ismail Putera
Sekarang) apa lagi oleh ramai terutamnya bekas murid-murid beliau yang ada
berselerak di negeri ini, juga oleh pelawat-pelawat.Dari desa pergi ke kota
mencari sahabat nan berbudi kematiannya tanpa mewarisi harta tapi meninggalkan
ilmu dana bakti.
Jawatan-jawatan Tok Kenali
Tuk kenali ada di antara orang-orang yang memikul tugas dan
jawatan terpenting dalam perkembangan pengajian islam dan pertubuhan kebudayaan
timur yang berteraskan islam di negeri Kelantan berdasarkan jawatan-jawatan
yang pernah disandangnya sebagai berikut:
2. Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian Ilmu Agama.
Bertanggungjawab memimpin Madrasah Muhammadiyyah dan penerbitan buku teks.
3. Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh (lidah rasmi
Majlis Agama Islam Kelantan
dikeluarkan setiap Isnin,
dijual 10 sen senaskah).
4. Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan.
5. Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah - kumpulan ilmiah
membincangkan isu agama dan semasa.
7. Guru agama di Masjid Besar al-Muhammadi, Kota Bharu.
8. Penasihat agama kepada Datuk Perdana Kelantan (Menteri
Besar).
Kegiatan-kegiatan dan Jasa Tok Kenali
Selain daripada mengajar, Tuk Kenali juga bergiat dalam
lapangan-lapangan yang berhubung dengan kemajuan agala dana kebudayaan islam.
Datu Paduka menteri Paduka Raja (Tuan haji mahmud bin ismail) dengan nasihat
beliau telah dapat membentuk Majis Agama Islam dan Adat istiadat melayu
kelantan pada 24 Disember 1915M (17 Safar 1334H). Ini adalah satu jasa yang
dapat dilihat buktinya sampai sekarang.
Semasa hendak mengeluarkan majalah pengasuh 1918M iaitu
warta majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu kelantan. Tuk kenali telah
dipilih untuk menjadi ketua pengarang kehormat . pada mulanya majalah ini
dikeluarkan berupa lembaran akhbar yang mempunyai bidang besar, diterbitkan
setiap hari Isnin, senaskah berharga 10 sen. Penerbitan majalah ini juga adalah
daripada saranan dan dorongan-dorongan beliau.
Selain itu beliau telah ditugaskan oleh pihak majlis Agama
Islam kelantan untuk menterjemahkan Tafsir Al-Khazin yang bertajuk “Lubaab
at-Ta,wiil fil Ma’aani At-Tanzil” ke dalam bahasa melayu. Tugas berat ini telah
dijalankan oleh beliau dan sebahagian daripada tafsir Al-khazin telahpun siap
diterjemahkan. Sayangnya, naskah ini tidak dapat dikesan sehingga sekarang.
Juga tidak dapat dilupakan bahawa majalah Al-Hikmah (lahir
1 julai 1923M) di mana ketua Pengarang dan penerbitnya yang berbahagia tuan hj.
Ahmad bin Ismail (Datuk Lela negara) adalah kerap menerima nasihat-nasihat dan
fikiran-fikiran yang berguna daripada Tuk kenali. Majalah pengetahuan ini
diterbitkan tiga kali sebulan . pejabat penerbitan ini selalu didatangi oleh
Tuk kenali danaa merupakan salah satu tempat beliau membaca surat-surat khabar
dan majalah dewasa itu.
Tuk kenali adalah seorang pencinta ilmu pengetahuan. Hal
ini ternyata sekali dalam sejarah hidupnya. Beliau juga pernah menyimpan sebuah
buku cetera Raja Muda . salah sebuah buku sejarah kelantan yang penting. Buku
ini kemudiannya telah diberikan kepada pengarang buku Hikayat Seri kelantan.
Dalam kegiatan kemasyarakatan pula , beliau telah
melancarkan suatu getakan perhimpunan umat islam yang di namakan ‘Jam ,iyyatul
Asriyyah] ‘[Perhimpunan semasa] yang kerap membicangkan perkara-perkara hangat
dalam masyarakat [Politik] , pebincangan=perbincangan ilmu dan perhimpunan
kerana ibadat. Sebagai megekal gerakan tersebut ,maka satu bangunan telah didirikan
di tengah-tengah ibu kota dengan nama yang sama, terletak di Jalan Tengku Petra
Semarak , Kota Bharu.
Perkembangan Pengaruh
Melihatkan jawatan- jawatan penting yang telah disandang
oleh Tuk Kenali dalam masa hayatnya,juga memandangkepada kegiatan dan jasa
-jasa beliau yang cermelang dalam perkambangan pengajian ugama dan kebudayaan
islam di Negeri Kelantan khasnya dan Alam Melayu amnya.Maka sudah sewajanyalah
pengaruh beliau segera berkembang ke segenap pelusuk tanah air dalam masa yang
singkat sekali. Perkembangan-perkembangan ini adalah agak memuncak di
penghujung pemerintahan Sultan Muhammad IV (1900-1920M) dan di awal
pemerintahan sultan Ismail (1920-1944M) . kedua-dua baginda sultan ini adalah
di antara sultan-sultan yang banyak mencipta kemajuan negeri dalam serba
lapangan, lebih-lebih lagi di lapangan kemajuan agama islam. Ini adalah memberi
peluang yang besar kepada perkembangan pengaruh Tuk kenali yang sedang
berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi melihat kedudukan Tuk Kenali yang
sedang berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi mellihatkan eratnya
perhubungan Tuk Kenali dengan anak tuan gurunya dahulu iaitu dengan hj. Nik
mahmud bin ismail (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja) yang juga memegang
peranan terpenting dalam pentadbiran negeri kelantan dewasa itu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tersebarnya
pengatahuan Bahasa Arab dan pengetahuan-pengetahuan agama melalui pondok dan
sekolah-sekolah pondok ke seluruh Tanah melayu ini antara lain ialah daripada
jasa Tuk kenali yang menyusun kata-kata Tassrif yang kemudiannya diperkanalkan
oleh murid-murid nya terutama tuan guru hj. Ali Shalaahuddin Pulau Pisang dan
syaikh uthman jalaluluddin, seberang prai dalam buku Tatriful Arf- itu, syaikh
Uthman menulis;
“Sesungguhnya hamba pungut akan dia daaripada beberapa
mutiasa tasrif yang amat elok bagi guru hamba yang alim lagi yang amat ilmunya
lagi yang menghimpunkan bagi beberapa fan ilmu yang bangsa kepada agama iaitu
muhammad yusof yang masyhur akan gelarannya di seluruh tanah melayu dengan Tuk
kenali di negeri kelantan ".
Perkembangan Pondok Sekolah Agama dan Sekolah Melayu
Sistem persekolahan yang diutaamakan oleh Tuk kenali dalam
masa hayatnya ialah sistem pondok, Sistem pondok yang menggunakan bahan-bahan
pelajaran yang berdasarkan kitab dengan mengkelas-kelaskan kitab kepada
pengajian peringkat rendah, menengah atas dana tinggi yang dipelajari secara
berkelompok (berhalqah) di masjid atau madrasah (balaisah) . Manakala
pelajar-pelajar yang tinggal di pondok-pondok (Asrama) di bawah bimbingan Tuk
kenali, telah melahirkan beberapa orang tokoh ulamak. Tuan-tuan guru (tok
guru_, pendakwah, pengarang yang terkenal yang datang dari beberapa tempat di
seluruh tanah Melayu , sumatera, kemboja dan lain-lain.
Guru-guru pondok lepasan kenali inilah kemudiannya tersebar
keseluruhan rantau ini di mana mereka menghidupkan pula sistem pondok.Adalah
agak luar biasa, di samping menggalakkan sistem pondok, Tuk kenali sebagai
pencinta ilmu, tidaaklah menghalang wujudnya sistem persekolahan.
Tertubuhnya Agama islam dan adat istiadat melayu kelantan
padaa tahun 1915M yang sudahpun mempunyai rancangana mendidikan sekolah-sekolah
Agama islam di kelantan , adalah juga dengan mendapat nasihat daripada Tuk
kenali. Maka pada 5 Ogos 1917M ditubuhkan sebuah Sekolah Agama berbahasa
pengantar melayu yang menitik beratkan Bahasa Arab, dengan nama “Al-Madrasah
Al-Muhammadiyyah Al-Kilantaniyyah”. Sekolah ini juga mengadakan pelajaran
bahasa inggeris di sebelah petangnya.
Jadi, Tuk Kenali sebagai Ketua Pelajaran Agama Islam di
Kelantan adalah memainkan peranan dalam pembukaan dan perlaksaan sekolah ini.
Sekolah ini lebih dikenal dengan nama “ Sekolah Agama Majlis”.
Kemudian pada tahun 1937 bila lahirnya sekolah aliran
bahasa arab di Majlis dengan nama “Majlis Al-Muhammadiyyah Al-Arabiyyah”
barulah Sekolah Agama Majlis tadi bertukar nama dengan “Sekolah Melayu Majlis”,
manakala sekolah yang baru tadi disebut “Sekolah Arab Majlis”. Akhir sekolah
aliran melayu ini diserapkan secara beransur-ansur ke dalam Bahasa Arab sesudah
dia dipindahkan ke bangunan Maahad Al-Muhammadi sekarang ( sebagai ekoran
daripada sekolah aliran arab tadi )
Keberkatan usaha beliau ini membawa Syaikh Uthman Jalaludin
Al-Kilatani membuka sekolah arab Manaabi’ Ai-’Uluum, Bukit mertajam pada tahun
1934 (1353). Demikian juga Tuan Guru Hj. Ali Salaahudin membuka madrasah
Al-Falaah di Pulau Pinang di mana kedua-dua madrasah ini lebih berbentuk pondok
(sistem pondok).
Di samping itu beliau juga adalah dianggap sebagai
pendorong pembukaan sebahagian sekolah-sekolah Melayu di Kelantan ini seperti
Sekolah Melayu Kubang Kerian 1920M, Sekolah Melayu Mentuan, dan lain-lain.
Beliau tidaklah memusuhi pembukaan sekolah-sekolah seperti ini selagi pelajaran
yang diajar tidak menyelaweng daripada ajaran islam yang suci.
Tok Kenali Melahirkan Angkatan Pengarang
Di antara murid-murid Tuk kenali terdapat suatu golongan
atau angkatan pengarang buku-buku agama yang mempunyai kedudukan yang baik di
kalangan masyarakat Islam di dunia sebelah sini. Mereka ialah”
1. Dr. Syaikh Muhammad idris Al-Marbawi, seorang pujangga
Islam yang banyak member sumbangan dalam perkembangan ajaran-ajaran Isdlam
dengan kamusnya “Kamus Al- Marbawi” (Arab-Melayu) dan kitab-kitab karyanya yang
banyak di lapangan Agama Islam.
2. Saahib Al-Fadhilah Datuk Hj. Ahmad mahir, Mufti Kerajaan
kelantan yang juga seorang pengarang.
3. Syaikh uthman Jalaluddin Al-Kilantani, seorang pengarang
buku-buku agama dan seorang guru.
4. Tuan guru Hj. Yaakub bin Ismail. Legor, Selatan
Thailand.
5. Saahib Al-Fadhilah, Datuk Hj. Ismail bin Yusoff, Mufti
Kerajaan kelantan.
6. Asy-Syaikh Muhammad Salih Tuk kenali, Makkah
Al-Mukarramah Saudi Arabia.
7. Yang Berbahagia Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara)
pengarang majalah Al-Hikmah***(1923M) yang banyak mendidik bakat-bakat penulis
dan pengarang-pengarang sebelum perang.
8. Tuan guru Hj. Ali Salahuddin, seorang guru agama
terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
9. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, seorang guru agama
terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
10. Tuan Guru Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad , lorong Gajah mati,
kota Bharu adalah seorang guru agama dan seorang pengarang.
11. Yang berbahagia Datuk Hj. Hassan Yunus Al-Azhari, Bekas
Menteri Besar Johor , ahli politikyang juga menjadi seorang pengarang.
Selain murid-murid beliau yang berbakat, terdapat pula
cahaya-cahaya mata Tuk kenali yang turut memperkembangkan pengajaran
ayahndanya, mereka ialah:
1. Al-Marhum Hj. Ahmad Tuk Kenali, guru agama di pondok
kenali dan guru yang mengajar pada beberapa buah surau dalam beberapa jajahan,
daerah Negeri Kelantan.
2. Hj. Mahmud, wakil Syaikh haji , makkah.
3. Hj. Mohd Salleh Tuk Kenali, guru agama di kota suci
Makkah dan seorang pengarang buku-buku dan risalah-risalah agama. Beliau
mendirikan persatuan “Darul-Islah” bertempat di Maulid nabi, Suatu persatuan
astu perhimpunan kaum Muslimin dari Tanah melayu, patani, kemboja, Indonesia
dan lain-lain yang datang ke Tanah Suci makkah terutamanya di musim-musim haji,
di mana Tuk kenali diperkenal dan jasanya diperkenangkan. Suatu persatuan lagi
didirikan oleh beliau dengan nama “Darul-Quran (Persatuan Al-quran) bertempat
di Misfalah, Makkah.
4. Hj. Abdullah Zawawi, lulusan kuliah Syariah, makkah.
Berkecimpung di bidang pendidikan dan menjadi pengetua sekolah-sekolah menengah
di Kerajaan Arab Saudi dan Nigeria.
Peribadi dan Sifat-sifat Utama
Tuk kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang
ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai
sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat islam.
Antara sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakatt
islam. Antara si fat-sifat tersebut ialah:
a) Sangat menghormati dan memuliai ibu
b) Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin
dan anak-anak.
C) Seorang yang sabar, tidak lekas marah.
D) Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan
melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.
E) mengamalkan hidup berdikari. Beliau membeli sendiri di
pasar.
F) suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau
majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.
G) Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap
berbantalkan lengan.
H) pakaian beliau amat sederhana.
Sebenarnya Tuk kenali ialah seorang “wali” atau seorang
sufi disebabkan berlaku perkara luar biasa pada dirinya dan tidak inginkan
kemegahan dan kesenangan hidup yang berlebihan. Tambahan pula memandang
makhluk-makhluk lain dengan pandangan yang penuh bertimbang rasa dan kasihan
belas.
Tok Kenali dan Hal-hal Kemasyarakatan
Sewaktu melancarkan pengajaran-pengajarannya, Tuk kenali
didapati agak gemar sekali membincangkan hal-hal politik tanah air. Semasa
hayatnya Tuk kenali tidak memisahkan politik daripada bidang pelajaran, malah
beliau tidak mengenal pemisahan antara. Agama islam yang difahami dengan
politik. Ini adalah merupakan suatu cara menyesuaikan pengajarannya dengan
masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan alam keliling. Kerana itu dalam
pengajarannya beliau mengemukakan beberapa anjuran melalui cerita-cerita tauladan
yang berkesan antaranya: ikut bapamu, tetapi takutkan Tuhan kuasailah
pengetahuan agama dan politik ilmu itu apa yang terguris dalam hati pengetahuan
manusia terbatas. Mengaku salah jika bersalah. Sunnah Tuhan sudahlah wajar biar
mati adat, jangan mati syarak. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Bertanya pada yang tahu. Penjahat itu mencukupi dengan kejahatannya. Doa adalah
senjata orang mukmin. (Cerpen-cerpen Tuk Kenali” oleh AQHAS - halaman 76),
Terbitan baru dengan tajuk cerpen-cerpen warisan Tuk Kenali).
Tok Kenali dan Puisi
Dalam masa menyampaikan pengajarannya, disamapaing
mengutarakan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W , maka
terhamburlah dari mulut beliau beberapa rangkap syair dan kata-kata hikmat bak
mutiara gugur dari untainya.Di sini dibentangkan sebuah syair yang pernah
dikeluarkan oleh Tuk Kenali iaitu:
Bahaya Merokok:
" Perokok itu terhina, dungu, membazir dan keji,
kerendahan bagi penagihnya, pasti, Darinya menguap kentut yang busuk dan
diluati. Kepulan asap dari bibirnya mengasapi muka dana peribadi " .
Antara kata-kata hikmatnya:
“Orang yang mulia itu ialah orang yang memuliakan ibu”
“mengkaji sendiri adalah punca kemajuan dalam pembelajaran”
Pengaruh Imam Al-Ghazali
Melihatkan peribadi dana sikap hidupnya, nyatakan bahawa
Tuk kenali adalah terpengaruh oleh ajaran-ajaran Failasuf islam Iman Ghazali,
seorang alhi Tasauf yang sampai kepada darjat “hakikat” mengenal diri dan
Tuhannya, ingin mencapai kebahagiaan dan kesucian yang setinggi-tingginya dalam
penghidupan yang singkat ini, kemewahan hidup yang terhad dan sifat tidak
membesar diri adalah nyata sekali dalam penghidupannya.
Unsur-unsur ini adalah terkandung dalam adoa yang dikumpul
dan digubah oleh Iman Al-Ghazali dalam kitabnya “Ayyuhai Walad” (Wahai Anak)
yang menjadi amalan Tuk Kenali dan murid-murid beliau sehingga sesudah itu
dikenal pula dengan “Doa Tuk Kenali” (Doa mengiringi sembahyang Lima Waktu)
yang antara lain bererti:
" Wahai tuhan, sesungguhnya saya pohon pada Engkau
pemberiannya sempurna , kesihatan yang berkekalan, rahmat yang menyeluruh dan
kesegaran yang berguna. Saya pohonkan daripada Engkau puncak kesenangan hidup,
puncak kebahagiaan umur, kesempurnaan kebaikan, juga keluasan pemberian dan
kesopanan yang lebih berfaedah".
" Tuhanku, Tolonglah kami dan jangan pula kami
ditindas. Tuhanku, Bahagiakanlah kesudahan hidup kami, buktikanlah hasrat kami
dengan penambahan amalan. Susilah kesegaran dikala berpagi-pagi dan
berpetang-petang ".
" Wahai Tuhanku, tumpahkanlah rahmat engkau di tempat
kembali kami dan kesudahan kami dan tuangkanlah dulang kemaafan ke atas
dosa-dosa kami dan kurniakanlah pembaikan kepada keaifan-keaifan kami dan
berikanlah kegiatan kami pada agama engkau. Kepada Engkau kami berserah dan
kepada engkau kami menggantung harapan ”.
Meninjau kepada beberapa segi yang telah dikemukakan di
atas, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Tuk kenali adalah salah
seorang tokoh ulama terkenal dan pembangun fikiran Umat Islam di dunia sebelah
juga tidaklah salah jika dikatakan bahawa selagi terbitnya majalah pengasuh ke
alam persuratan melayu, maka selama itulah Tuk Kenali dikenangan, seterusnya
tidaklah merupakan suatu penonjolan jika dikatakan bahawa selagi wujudnya
majlis Agama islam dan Adat istiadat melayu kelantan” maka selama itulah ?Tuk
Kenali masih disebut dan dikenali.