Pada hari
Isnin 27 Januari tahun 2014 bersama 25
Rabiul Awwal 1435H, dunia telah kehilangan
seorang tokoh ulama, pemikir Islam yang
hebat, iaitu al-‘Allamah al-Syaikh Dr Abdul Karim Zaidan bekas Muraqib Aam bagi
jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Beliau telah meninggal dunia di bandar San’aa’,
ibu negara Yaman. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran,
tarbiah, pengajaran dan penulisan.
Beliau
yang berasal dari Iraq meninggal dunia ketika umurnya 97 tahun. Beliau telah
menetap di Yaman dan mengajar di Universiti Iman semenjak tahun 90an. Syeikh Dr
Abdul Karim Zaidan terkenal sebagai tokoh dakwah dan pemikir Islam, menjadi
pakar rujuk dan telah menulis puluhan karya dalam perundangan, syariah dan
pendidikan Islam. Syeikh Abdul Karim juga dianggap sebagai seorang ulama yang
hebat, berani mempertahankan Islam dalam apa-apa isu dan sangat menitikberatkan
kesatuan rakyat Iraq.
Kematian
Syeikh Abdul Karim merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam sedunia
secara umum, dan kepada bumi Iraq secara khusus kerana usaha beliau yang tidak
pernah jemu dalam menghadapi penjajahan Amerika yang mengancam kedaulatan bumi
Iraq.
Biografi Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan
Beliau
dilahirkan pada tahun 1917 di Baghdad. Pendidikannya bermula di pusat-pusat
pengajian Al-Quran di masjid-masjid di kampungnya. Kemudian beliau menyambung
pengajiannya di Fakulti Undang-undang di sebuah universiti di Baghdad. Selepas
itu beliau menyambung pengajian sarjananya di Universiti Kaherah dan berjaya
mendapat keputusan Imtiaz. Pada tahun 1962, beliau berjaya mendapat keputusan
Imtiaz tahap pertama dalam pengajian doktor falsafah di universiti yang sama.
Semasa
berada di Maahad Syariah Islamiyah di Universiti Kaherah, beliau mengikuti
pengajian khas dalam Fiqh Islami dan rujukan utamanya ialah buku-buku Ibnu
Taimiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Beliau juga menyertai pengajian dan
perbincangan-perbincangan fiqh semasa.
Beliau
kemudiannya dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah dan Ketua Jabatan
Syariah Islamiyah di Fakulti Undang-undang di Baghdad, kemudian menjadi Ketua
Jabatan Agama di Fakulti Adab Universiti Baghdad. Selepas itu menjadi pensyarah
Syariah Islamiyah di Fakulti Pengajian Islam lalu menjadi dekan di fakulti
tersebut.
Pada
1992, beliau meninggalkan Iraq dan dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah
di Jabatan Pengajian Islamiyah dan pensyarah pengajian sarjana dan doktor
falsafah di Universiti San’aa’ dan kekal di universiti itu sehingga meninggal
dunia. Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di
Universiti Iman di San’aa’.
Sejak
tahun 70an, beliau dilantik menjadi anggota beberapa majlis ulama dan majlis
fiqh Islami sedunia. Beliau telah dikurniakan anugerah khas Raja Faisol Arab
Saudi di atas penulisannya yang hebat iaitu “al-Mausu’ah” atau Ensiklopedia
berkenaan hukum-hakam wanita dan baitul muslim. Beliau juga telah menulis
banyak karya ilmiah yang hebat, banyak di antaranya telah dijadikan silibus
universiti-universiti.
Beliau sangat
mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu haripun beliau
tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal
keadaan mereka. Beliau merupakan insan yang sangat zuhud. Tidak mementingkan
pangkat dan jawatan. Tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah
dan ketua-ketua negara. Jauh daripada sifat ria' dan mengada-ngada. Waktu-waktunya
dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan
berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuan dan
mengajar. Tidak berlalu satu saatpun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.
Karya-karya peninggalan Syaikh Dr Abdul
Karim Zaidan ;
Antara
hasil penulisan beliau ialah:
a. Ahkam
al-Zimmiyyin wa al-Musta’minin fi dar al-Islam
b. Al-Madhkal li Dirasah as-Syari’ah al-Islammiyyah
c. Al-Kifalah wa al-Hiwalah fi al-Fiqh al-Maqarin
d. Kitab
al-Usul ad-Da’wah
e.
Al-Fard wa ad-Dawlah fi as-Syari’ah
f.
Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah
g.
Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh
h.
Al-Wajiz fi Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah
i. Syarh
al-‘Iraqi lil Usul al-‘Isyriyyin
j. Nazarah fi Syari’ah al-Islamiyyah
k.
Al-Mustifat min Qasas al-Quran al-Karim lil Da’wah wa al-Da’ah
l. Al-Sunan al-Ilahiyyah fi al-Umam wa al-Ifrad wa al-Jama’at
Semoga
Allah memasukkan beliau dalam golongan para anbiya’ dan solihin dan diharapkan
akan lahir lebih ramai ulama yang hebat seperti beliau untuk memenangkan agama
ini.