Sabtu, 28 April 2012

SYAIKH MAHMUD KHALIL AL-HUSHARI (1917 – 1980)


Beliau merupakan qari terkenal dari Mesir. Beliau digelar Faris Qira-at al-Asyr kerana kefakarannya dalam ilmu al-Quran dan Qira-at  al-Asyr ( iaitu sepuluh bentuk bacaan al-Quran ). Syaikh al-Hushari dilahirkan di kampung Syubra al-Namlah di bandar Thantha Mesir pada 17 September 1917.

Pendidikan;

Syaikh al-Hushari  mula mempelajari al-Quran di Kuttab yang terdapat di kampungnya. Beliau berjaya menghafaz al-Quran ketika berusia lapan tahun. Beliau meneruskan pembelajaran al-Quran di Kuttab tersebut dengan mendampingi gurunya. Beliau sentiasa menemani gurunya ke masjid untuk membaca al-Quran al-Karim. Kepandaian dan kemerduan suaranya ketika membaca al-Quran telah menarik perhatian orang ramai, hingga mereka menggesa beliau menyertai pertandingan tilawah al-Quran.  Ketika umurnya 12 tahun, bapanya telah memasukkannya ke sebuah sekolah agama di Bandar Thantha. Beliau belajar di sekolah ini hingga tamat peringkat menengahnya.

Apabila tamat persekolahan  menengahnya, beliau telah memasukki Universiti al-Azhar dengan pengkhususan dalam bidang al-Qir-at al-Asyr. Beliau berjaya memperolehi ijazah  Ilmu al-Qira-at   pada tahun 1958.

Kegiatan dan sumbangan

Pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai pakar rujuk dan pentashih mashaf al-Quran oleh Masyikhah al-Azhar  di  Lujnah Muraji-‘ah al-Masha-hif wa Tashhihuha. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Lujnah, dan pada tahun 1962, beliau telah dilantik sebagai pengerusinya.

Beliau merupakan orang yang pertama mencadangkan penubuhan Niqabah Li  Qurra’  al-Quran al-Karim ( Persatuan Qurra’ al-Quran ), bagi menjaga kemaslahatan dan menjamin kehidupan mereka. Beliau juga mencadangkan penubuhan institusi-institusi Tahfiz al-Quran di setiap bandar dan kampung . Beliau telah telibat secara langsung dalam penubuhan kebanyakan institusi Tahfiz al-Quran sama ada di Mesir maupun di negara sekitarnya.
Pada tahun 1960, beliau telah dipilih sebagai qari  bagi pembukaan Muktamar Islam yang pertama di India,  yang mana muktamar tersebut dihadiri oleh pembesar-pembesar dari negara-negara Islam, di antaranya Jamal Abdul Nasir ( Presiden Mesir ) dan Jawaherlal Nehru ( Perdana Menteri India ).

Pada tahun 1961, beliau telah dipilih sebagai Syaikh al-Maqari’ al-Misriyyah( Ketua  Umum Para Qurra’ Mesir ).

Pada tahun 1965, ketika beliau melawat Perancis – seramai 10 orang rakyat Perancis telah memeluk Islam selepas mereka mendengar bacaan al-Quran dan  menghadiri sebahagian kuliah pengajaran.

Pada tahun 1966, beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Rabithah Qurra’ al-‘Alami al-Islami  ( Pertubuhan Qurra’ Antarabangsa ) di Muktamar (Iqra’ ) yang diadakan di Karachi Pakistan. 

Pada tahun   1967, beliau menerima Wasam al-‘Ulum wa al-Funun dengan pangkat pertama pada Hari ‘Iyd al-‘Ilm  bagi tahun 1967.
Pada tahun 1977,  Dalegasi dari negara Arab dan Islam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjemput beliau membaca al-Quran dalam bangunan pertubuhan tersebut.

Pada tahun 1978, ketika melawat Britain beliau telah    memperdengarkan bacaan al-Quran di Dewan Diraja Britain dan Dewan Hayurat yang terletak merentangi Sungai Tayamar di London.

Beliau telah mewasiatkan 1/3 daripada harta peninggalan untuk diinfaqkan ( dibelanjakan ) bagi perkara kebajikan dan bagi pengurusan dua masjid iaitu sebuah masjid di Masqath  ( Thantha ) dan sebuah masjid di Kaherah.

Karya Penulisan ;

Di antara karya peninggalan Syaikh al-Hushari ialah ;
  1. Ma-‘al al-Quran
  2. Ahkam Tilawah al-Quran al-Karim
  3. al-Qira-at al-‘Asyr Min al-Syatibiyyah wa al-Durrah
  4. Ahsan al-Athar Fi Tarikh al-Qurra’ al-Arba-‘ah ‘Asyar
  5. Ma-‘alim al-Ihtida’ Ila Ma’rifah al-Waqf wa al-Ibtida’
  6. Riwayah Warasy ‘An al-Imam Nafi’ al- Madani
  7. Nur al-Qulub Fi Qira-ah al-Imam Ya’qub
  8. al-Sabil al-Muyassir Fi Qira-ah al-Imam Abi Ja’far
  9. Riwayah al-Dawri ‘An Abi Amru bin al-‘Ala’ al-Bashri
  10. Riwayah Qalun ‘An Nafi’
  11. al-fath al-kabir Fi al-Isti-‘azah wa al-Takbir.
  12. Rihlati Fi al-Islam
  13. al-Nahj al-Jadid Fi ‘Ilm al-Tajwid.
Kewafatan ;

Setelah banyak menyumbangkan jasanya kepada dakwah dan perkembangan Islam, khususnya dalam tilawah al-Quran, beliau telah kembali kerahmatullah  pada 24 November 1980.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan