Sabtu, 28 April 2012

Syeikh 'Umar Hamdan al-Mahrasi (1875- 1949)

Jika melihat sanad keilmuan para tokoh ulama nusantara dan negara-negara muslim lain yang pernah belajar di Makkah atau Madinah pada pertengahan abad ke 20, hampir pasti anda akan menemukan nama Syaikh Umar Hamdan di dalamnya. Beliau memang salah seorang ulama terkemuka dan tokoh penting masa itu

Tak menghairankan jika namanya selalu disebut apabila kita membaca bahan-bahan tentang pengajaran ilmu-ilmu keislaman di masa itu. Sebagaimana abad-abad sebelumnya, Makkah menjadi salah satu pusat keilmuan yang menonjol, yang sentral kegiatannya berlangsung di Masjidil Haram.
 
Syaikh Umar Hamdan, atau lengkapnya Syaikh Umar bin Hamdan bin Umar bin Hamdan bin Ahmad Al-Mahrasi lahir di Jirbah, Tunisia, pada tahun 1292H (1875M). Melihat tahun kelahirannya, beliau seangkatan dengan Habib Ali bin Abdurrahman Al-Habsyi, Habib Alwi bin Thohir Al-Haddad, Hadhratusy Syaikh K.H. Hasyim Asy'ari, Syaikh Sulaiman Ar-Rasuli, dan banyak lagi tokoh ulama terkemuka lainnya. Sebahagian mereka mempunyai guru yang sama. Aktiviti keilmuan Syeikh Umar Hamdan dilalui dalam masa yang panjang dan melewati berbagai kota dan negeri. Saat berusia 7 tahun, beliau dibawa ayahnya berangkat ke ibu kota negara yang terletak di Afrika Utara itu, iaitu kota Tunis.

Beliau tumbuh dalam lingkungan keluarga yang dikenal keilmuan dan keutamaannya. Sejak kecil beliau telah mempelajari ilmu-ilmu agama, dimulai dengan mempelajari dan menghafal Al-Quran serta mendalami tajwidnya kepada Syaikh Al-Manbaji.
Lalu beliau mempelajari dasar-dasar ilmu agama yang lain daripada para ulama di sana.

Pada tahun 1303H (1886M) dalam usia 11 tahun, beliau berhijrah bersama ayahnya ke Makkah dan sekaligus menunaikan haji.

Tahun berikutnya beliau diajak ayahnya berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Beliau merasa senang dan sesuai tinggal di kota Rasulullah shollallahu 'alaihi wa alihi washohbihi wasallam itu. Di Masjid Nabawi beliau menyempurnakan hafalan Al-Quran nya kepada Syaikh Ibrahim Ath-Tharudi selama sekitar sati setengah tahun. Beliau juga mempelajari dan menghafal kitab-kitab matan. Di antaranya, kepada Al-'Allamah As-Sayyid Ahmad bin Ismail Al-Barzanji, mufti Syafi'i di Madinah, beliau belajar kitab Mughni al-Labib, Alfiyyah Ibnu Malik (keduanya dalam ilmu nahwu, 'grammar' bahasa Arab) asy-Syifa' (karya Qadhi 'Iyadh), dan sebahagian besar Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim. Selama 2 tahun beliau selalu mengikuti pelajaran gurunya ini.

Syeikh Umar Hamdan juga mengambil ilmu dari para tokoh ulama Madinah lainnya. Antara lain, Syaikh Falih bin Muhammad Azh-Zhahiri Al-Mahnawi (mufti Syafi'i di Madinah), Syaikh Muhammad Ali bin Zhahir Al-Watri Al-Madani, Syaikh Abdul Jalil bin Abdus Salam Baradah, Sayyid Muhammad bin Ja'far Al-Kattani, Syaikh Abdul Baqi Al-Anshari.
Setiap mendengar kedatangan seorang alim ke Madinah, ia segera menjumpainya, meminta ijazah dan belajar kitab kepadanya.

Ketika Syaikh Allamah Muhammad Al-Kattani datang ke Madinah, misalnya, ia selalu menyertai dan mengambil ilmu darinya, meskipun saat itu beliau telah dikenal sebagai seorang ahli dalam fiqh Maliki dan ilmu nahwu. Rasa haus akan ilmu membuatnya tidak hanya belajar kepada para ulama laki-laki, tapi juga kepada ulama perempuan. Di antaranya ia pernah mengambil ilmu hadits dari Sayyidah Amatullah binti Abdul Ghani Ad-Dahlawi. Demikian disebutkan oleh Syaikh Umar Abdul Jabbar ketika menjelaskan riwayat hidup Syeikh Umar Hamdan dalam kitabnya, Siyar wa Tarajim, halaman 230-234.

Tidak puas hanya menimba ilmu di Madinah, beliau pun melakukan perjalanan ke Mesir dalam pengembaraan keilmuannya. Guru-gurunya di sini antaranya Syaikh Abdurrahman 'Ulaisy, Syaikh Muhammad Ibrahim As-Saqa, Syaikh Abdul Mu'thi As-Saqa, Syaikh Muhammad Khaththab As-Subki As-Salafi, Syaikh Ahmad Rafi' Ath-Thahawi, Syaikh Abu Muhsin Ali bin Muhammad Al-Bablawi, Syaikh Muhammad Asy-Syafi'i Azh-Zhawahari, Syaikh Abdurrahman Qara'ah (mufti Mesir), Qadhi Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muithi'i, Sayyid Khidhir bin Husain At-Tunisi.

Setelah itu beliau kembali ke negerinya, Tunisia, untuk mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya yang terkenal. Beliau mengambil ilmu antara lain daripada Syaikhul Islam Abu Hajib dan Syaikh Ath-Thayyib An-Nufair. Beliau pun saling berbagai ilmu dengan para ulama di Universiti Zaitunah, antaranya Syaikh 'Asyur, Syaikh Muhammad bin Mahmud, Syaikh Bairam Ath-Thayyib.

TERCATAT DENGAN TINTA EMAS

Pengembaraan ilmunya tak berhenti sampai di situ. Beliau terus ke Fez, Maghribi. Di kota tua ini beliau berbagi ilmu antara lain dengan Sayyid Al-Mahdi Al-Wazini. Beliau pun mengambil ilmu dari Sayyid Ahmad bin Al-Ma'mun Al-Balghaitsi (wafat 1348H/1929M), pemimpin asyraf (jamak kata syarif, keturunan Sayyidina Hasan, cucu Rasulullah s.a.a.w). Juga kepada Sayyid Abdurrahman bin Zainan, Sayyid Abdul Kabir Al-Kattani dan saudaranya, Sayyid Abdul Hayy Al-Kattani.

Dari sana, beliau melanjutkan perjalanan ke Damsyik, Syria, untuk tujuan yang sama. Antara para gurunya di sini ialah ahli hadits Sayyid Badruddin Al-Hasani, juga Syaikh Abu An-Nadhr Al-Khattib, Syaikh 'Atha' Al-Kasam, Syaikh Muhammad Abul-Khair Abidin.

Kemudian beliau kembali ke Makkah untuk mengambil ilmu dari para ulama yang mengajar di Masjidil Haram. Beliau mengambil ilmu antara lain dari Sayyid Husain Al-Habsyi (mufti Syafi'i di Makkah, wafat tahun 1330H/1912M), Sayyid Bakri Syatha, dan Syaikh Sulaiman Hasbullah. Beliau pun berbagi ilmu dengan Sayyid Abbas Al-Maliki (datuk Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki), dan Syaikh Muhammad Ali Al-Maliki, juga tokoh besar Makkah dan pernah mengadakan perjalanan ke Indonesia. Dalam masa ini beliau mulai mengajar di Masjidil Haram dan Madrasah Al-Falah.

Pada tahun 1343H (1924M), Syeikh Umar Hamdan pergi ke Aden (Yaman Selatan). Di sini, di antaranya dengan perantaraan Sayyid Muhammad Zabarah, beliau mengambil ilmu dari Imam Yahya Hamiduddin, pemimpin Yaman yang sangat terkenal. dengan perantaraan tokoh ulama di atas juga, beliau mengambil ilmu dari Qadhi Husain Al-'Amri.

Tak puas tampaknya jika beliau tidak menimba ilmu di negeri para sayyid, Hadhramaut. Maka beliau pun mengadakan perjalanan ke sana dan mengambil ilmu dari para tokoh ulamanya, di samping juga mengajar di masjid-masjidnya karena beliau sendiri telah menjadi tokoh ulama yang disegani kerana ilmu dan pengalamannya.

Guru-gurunya saat di Hadhramaut antaranya Habib Abu Abdillah Muhammad bin Salim As-Siri, Habib Abdullah bin Hadun Al-Muhdhar, Habib Musthafa bin Ahmad Al-Muhdhar (kekanda Habib Muhammad bin Ahmad Al-Muhdhar, Bondowoso), Habib Muhammad bin Hadun Assegaf, Habib Syaikh bin Muhammad Al-Habsyi, Habib Abdullah bin Thohir Al-Haddad (saudara Habib Alwi bin Thohir Al-Haddad, mufti Johor). Beliau pun mengambil ilmu dari beberapa ulama perempuan, yakni Habibah Sidah binti Habib Abdullah bin Husain bin Thahir dan saudarinya yang lain, juga Habibah Khadijah binti Ahmad Al-Muhdhar.

Demikianlah, beliau selalu menggali dari berbagai sumber yang dapat ditemui, dan berkelana dari satu tempat ke tempat lain.
Memang begitulah tradisi dan semangat keilmuan para ulama masa itu.

Di mata guru-gurunya, Syeikh Umar Hamdan dikenal sebagai seorang yang memiliki pemahaman ilmu yang bagus, kecermatan, dan penguasaan berbagai disiplin ilmu. Selama di Madinah, beliau benar-benar tekun mendalami sejumlah besar kitab induk dalam berbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir, sirah Nabawi, nahwu (sintaksis), sharaf (morfologi), balaghah (sastera Arab) dan sebagainya, yang dikuasai dengan sangat baik.

Semua masalah ilmu beliau pelajari, bahkan hal-hal yang sangat mendetail pun tak luput dari perhatiannya. Apa saja yang diucapkan gurunya, diperhatikannya dengan baik. Dan tak jarang beliau mendebat dan mempersoalkannya- tentu dengan cara yang santun.

Dari perjalanannya yang panjang itu, jelaslah bahawa semua pusat ilmu di Timur Tengah sudah dijelajahinya, dan tokoh-tokoh ulama terkemuka telah ditemui dan diambil ilmunya. Gurunya tercatat hampir 100 orang, jumlah yang tidak sedikit.

Beliau dihargai dan dihormati sebagai salah satu panutan dalam keilmuan, baik saat belajar mahupun mengajar. Sejarah telah mencatat namanya dengan tinta emas.

ANTARA MAKKAH DAN MADINAH

Setelah memiliki penguasaan ilmu yang luas dan mendalam dalam berbagai disiplin ilmu, sebahagian besar waktunya dihabiskannya untuk mengajar. Uniknya, ia membahagi waktunya antara Makkah dan Madinah. Di musim panas ia mengajar di Madinah, dengan mengadakan halaqah ilmiah di Masjid Nabawi, tidak jauh dari Raudhah. Halaqahnya merupakan salah satu dari halaqah terbesar di masjid itu.
Sedangkan di musim dingin, ia mengajar di Masjidil Haram, Makkah, dengan mengajar Al-Kutubus Sittah (enam kitab hadits induk).

Sejak tahun 1343H (1924M), ia juga mengajar di Madrasah Ash-Shaulatiyah dan kemudian di Madrasah Al-Falah, yang dijalaninya selama 5 tahun. Bukan hanya di masjid dan di madrasah ia mengabdikan dirinya dalam bidang keilmuan. Rumahnya pun tak ubahnya seperti sebuah madrasah, di situ selalu diadakan diskusi masalah2 ilmu. Para ulama memenuhi kediamannya berdiskusi tentang masalah2 keilmuan, termasuk riwayat hidup para perawi hadits, perjalanan hidup dabn perjuangan ulama, dan karya2 mereka.

Tak menghairankan jika jumlah muridnya banyak dan berasal dari berbagai penjuru dunia. Antara mereka adalah Allamah Syaikh Ibrahim bin Daud Al-Fathani (ulama terkemuka dari daerah Patani, Thailand Selatan), Syaikh Muhammad Yasin Al-Fadani (tokoh ulama terkenal dan sangat produktif, kebanggaan kaum muslimin Indonesia, yang meskipun kelahiran Makkah, orang tuanya berasal dari Padang, (Sumatera Barat), juga ahli falak Allamah Sayyid Ahmad bin Abdullah bin Shadaqah Dahlan (putra Sayyid Abdullah Shadaqah Dahlan, ulama terkemuka kelahiran Makkah yang wafat di Garut pada 1943M), Allamah Sayyid Hasan Al-Masysyath, Sayyid Alwi bin Abbas Al-Maliki, Sayyid Amin Kutbi, Sayyid Muhammad Nur Kutbi.

Keseharian Syeikh Umar Hamdan tak pernah lepas dari urusan keilmuan dan ibadah. Beliau tak memikirkan dan peduli dengan urusan dunia, lebih dari tak pedulinya anak-anak kecil terhadap urusan di luar mereka. Beliau telah merasakan kenikmatan dari kegiatannya: belajar dan mengajar. Beliau juga selalu mengisi waktu-waktunya di luar itu dengan membaca Al-Quran, i'tikaf, dan muthala'ah kitab-kitab. Kesukaannya juga membeli kitab-kitab lama, terutama yang berupa tulisan tangan.

Kesibukannya mengajar di masjid, madrasah, dan rumah membuatnya tak sempat menghasilkan karya, selain komentar-komentar singkat pada kitab-kitabnya. Namun beliau memiliki catatan kecil tentang guru-gurunya dan kitab-kitab yang dipelajarinya, yang dinamainya Ithaf Dzawi al-'Irfan bi Ba'dh Asanid Umar Hamdan.

Salah seorang muridnya, Syaikh Muhammad Yasin Al-Fadani, yang dikenal sebagai Musnid Ad-Dunya kerana dipandang memiliki sanad-sanad keilmuan yang terbanyak di dunia, juga menyusun kitab tentang sanad-sanad gurunya ini, Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan, dalam 3 jilid, yang kemudian ia ringkas menjadi satu jilid, dengan judul Ithaf Al-Ikhwan bi Ikhtishar Mathmah Al-Wujdan fi Asanid Asy-Syaikh Umar Hamdan.

Setelah puluhan tahun mengabdikan dirinya dalam dunia keilmuan, pada 9 Syawwal 1368H (4 Ogos 1949M), Syaikh Umar Hamdan kembali ke hadhirat ALLAH SWT di Madinah dan dimaqamkan di Baqi'. Semoga ALLAH mengangkatnya ke kedudukan yang tinggi. Amin. Al-fatihah.

Petikan (dengan sedikit modifikasi) Majalah Kisah Islami alKisah, No.15/Tahun VI/ 14-27 Julai 2008. Ruangan Manaqib muka surat128-133. Indonesia

Imam Abu Ya’qub al-Buwaithi ( 231H)

Nama lengkap beliau ialah Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya al-Buwaithi, lahir di desa Buwaith, Mesir  wafat pada tahun 231 H. Beliau ini adalah murid langsung dari Imam Syafi’i sederajat dengan al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi.

Imam Syafi’i berkata: “Tidak seorang juga yang lebih berhak atas kedudukanku melebihi dari Yusuf bin Yahya al Buwaithi”, dan Imam Syafi’i berwasiat, manakala beliau wafat maka yang akan menggantikan kedudukan beliau sebagai pengajar adalah al-Buwaithi ini. Beliau menggantikan Imam Syafi’i berpuluh tahun dan pada akhir umur beliau ditangkap lantaran persoalan “fitnah Quran”, yaitu tentang makhluk atau tidaknya Quran yang digerakkan oleh kaum Mu’tazilah.

Akhirnya al Buwaithi ditangkap oleh Khalifah yang pro faham Mu’tazilah, lalu dibawa dengan ikatan rantai pada tubuhnya ke Bagdad. Beliau meninggal dalam penjara di Bagdad tahun 231 H.

Beliau syahid karena mempertahankan kepercayaan dan i’itiqad beliau, iaitu i’tiqad kaum ahlussunnah wal Jama’ah yang mempercayai bahwa Quran itu adalah kalam Allah yang Qadim, bukan “ciptaan Allah”, (makhluk) .

Sumber:

Sejarah dan Keagungan Madzab Syafi’i, karangan KH. Siradjuddin Abbas, Pustaka Tarbiyah, 1994.

Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (1868-1920 M)

Oleh Wan Muhammad Shaghir Abdullah

DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 21 Mac 2005, telah diperkenalkan Kiyai Muhammad Saleh Darat, ulama besar Jawa Tengah. Kali ini diperkenalkan pula salah seorang murid beliau yang menjadi ulama besar di Mekah, iaitu Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi/Termas. Gurunya banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Jawa, dan hanya sebuah dalam bahasa Melayu. Berbeza dengan muridnya ini. Beliau yang banyak menghasilkan karya yang menjadi rujukan ulama peringkat antarabangsa, hanya menulis dalam bahasa Arab. Oleh itu beliau tidak banyak dikenali oleh masyarakat awam dunia Melayu. Syeikh Muhammad Mahfuz Termas lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rejab 1338 H/20 Mac 1920 M.

PENDIDIKAN

Untuk mengetahui latar belakang pendidikannya, nama para guru dan jenis ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas tidaklah terlalu sukar kerana dalam peringkat pengenalan tercatat dalam beberapa buah karya beliau. Di bawah ini saya terjemahkan dan petik sebahagian daripada riwayat yang tercantum dalam karya Muhibah zil Fadhli jilid ke-4. Kitab-kitab yang dipelajari daripada ayahnya sendiri, Syeikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi, ialah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Manhaj al-Qawim, Fat-h al-Mu'in, Fat-h al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain hingga sampai Surah Yunus saja. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Sekurang-kurangnya dalam rangkaian ilmu fikah, tasawuf dan tafsir al-Quran.

Setelah memperoleh ilmu yang banyak daripada orang tuanya sendiri, Syeikh Muhammad Mahfuz Termas berpindah ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab. Kitab yang terakhir ini mengenai ilmu falak. Perlu juga saya sebutkan bahawa kitab ini yang disebarkan berupa cetakan adalah ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas dari Semarang berpindah pula ke Mekah. Guru-gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam). Dalam masa yang sama belajar kepada Syeikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya. Juga kepada Syeikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib. Juga kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Sahih al-Bukhari. Juga kepada Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abi Daud. Sunan Tirmizi dan Sunan Nasai. Juga kepada Sayid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh. Juga kepada Syeikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi. Juga kepada Sayid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik. Ulama yang paling banyak mengajarnya pelbagai ilmu secara keseluruhannya ialah Sayid Abi Bakr bin Sayid Muhammad asy-Syatha.

Setiap guru yang tersebut bersambung kepada ulama yang lebih ke atas yang dinamakan sanad atau salasilah. Mengenainya Syeikh Muhammad Mahfuz Termas mencatatnya dengan lengkap dalam karyanya Kifayatul Mustafid. Memperhatikan tulisan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang menyebut bahawa ilmu terbanyak diperolehnya ialah daripada Sayid Abi Bakr asy-Syatha, pada masa beliau berada di Mekah, maka dapat disimpulkan sahabat-sahabat seperguruan dengannya ialah Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M). Ulama Patani ini lebih tua sekitar dua tahun daripada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas (1285 H/1868 M - 1338 H/1920 M), Mufti Pulau Pinang Haji Abdullah Fahim, lebih muda setahun (lahir 1286 H/ 1869 M), Tok Kenali, lebih muda dua tahun (lahir 1287 H/ 1871 M) dan lain-lain. Saya berkesimpulan sungguh pun nama-nama para guru telah disebut oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas sendiri, namun masih banyak ulama lain gurunya yang belum beliau sebut. Di antara mereka seumpama Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain. Berdasarkan banyak maklumat saya pastikan bahawa Syeikh Muhammad Mahfuz Termas juga pernah belajar kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Hubungan dan kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sayid Abi Bakr asy-Syatha adalah sangat erat, kerana sebuah karangan Sayid Abi Bakr asy-Syatha yang berjudul I'anatut Thalibin Syarh Fat-hil Mu'in yang selesai ditulis bulan Syawal 1300 H. Sebelum cetakan pertama kitab tersebut ditashih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayid Abi Bakr asy-Syatha sendiri dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama ada sebelum dicetak (masih manuskrip) mahu pun setelah cetakan pertama, yang mula-mula mengajar kitab I'anatut Thalibin di dalam Masjid al-Haram ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, semua murid Sayid Abi Bakr asy-Syatha pada zaman itu termasuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas hadir dalam halaqah atau majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas termasuk salah seorang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menghasilkan karangan dalam bahasa Arab dan dikenali ulama antarabangsa sesudah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Semua karangan beliau dalam bahasa Arab disenaraikan sebagai berikut:

1. As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H, risalah ini terdiri daripada tiga bahagian tetapi yang saya miliki hanya sebuah saja. Kandungannya membicarakan senarai kitab karya-karya dalam Mazhab Syafie serta nama-nama ulamanya. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah (tanpa tahun).

2. Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal, kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H.

3. Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi/at- Tirmisi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Masyhad al-Husaini, No. 18 Syari' al-Masyhad al-Husaini, Mesir (tanpa tahun). Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.

4. Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Daripada kitab ini dapat kita buktikan bahawa ulama yang berasal dari dunia Melayu berkemampuan menulis ilmu hadis yang demikian tinggi nilainya kerana kitab ini menjadi rujukan ramai ulama antarabangsa terutama ulama-ulama hadis. Dicetak oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, 1352 H/1934 M. Cetakan dibiayai oleh Syeikh Salim bin Sa'ad bin Nabhan wa Akhihi Ahmad, pemilik Al-Maktabah An-Nabhaniyah Al-Kubra, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, belum diketahui tarikh penulisan. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. Yang ada di tangan saya masih dalam bentuk manuskrip merupakan salinan Haji Ahmad Dahlan bin Muhammad Minhaj, tokoh ulama Selangor. Menurutnya disalin daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Menurut riwayat bahawa kitab ini terdiri daripada 13 bahagian.

Selain yang ada dalam koleksi saya seperti tersebut di atas, masih terdapat karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang ditulis oleh Sayid `Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan, ialah sebagai berikut:

6. Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.

7. Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.

8. Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.

9. Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.

10. Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah, Syeikh Yasin Padang menyebut bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Majidiyah, Mekah, tahun 1330 H.

11. Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'. (Kitab ini merupakan hasyiah bagi kitab Badril Lami’ Syarh Jam-‘i al-Jawami’ karya Jalaluddin al-Mahalli.)

Masih banyak judul yang belum dapat diperkenalkan, menurut riwayat bahawa karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas semuanya sekitar 20 judul atau pun lebih.

KESIMPULAN

Daripada semua yang dipaparkan di atas saya berkesimpulan bahawa daripada sekian banyak ilmu, yang paling menonjol untuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas ialah dalam semua bidang ilmu hadis, seumpama ilmu Dirayah Hadits atau Mushthalah Hadits, Rijal Hadits dan lain-lain. Beliau juga seorang yang hebat dalam fikah Syafi'iyah dan pelbagai jenis ilmu qiraat dan tajwidnya.

SYAIKH MAHMUD KHALIL AL-HUSHARI (1917 – 1980)


Beliau merupakan qari terkenal dari Mesir. Beliau digelar Faris Qira-at al-Asyr kerana kefakarannya dalam ilmu al-Quran dan Qira-at  al-Asyr ( iaitu sepuluh bentuk bacaan al-Quran ). Syaikh al-Hushari dilahirkan di kampung Syubra al-Namlah di bandar Thantha Mesir pada 17 September 1917.

Pendidikan;

Syaikh al-Hushari  mula mempelajari al-Quran di Kuttab yang terdapat di kampungnya. Beliau berjaya menghafaz al-Quran ketika berusia lapan tahun. Beliau meneruskan pembelajaran al-Quran di Kuttab tersebut dengan mendampingi gurunya. Beliau sentiasa menemani gurunya ke masjid untuk membaca al-Quran al-Karim. Kepandaian dan kemerduan suaranya ketika membaca al-Quran telah menarik perhatian orang ramai, hingga mereka menggesa beliau menyertai pertandingan tilawah al-Quran.  Ketika umurnya 12 tahun, bapanya telah memasukkannya ke sebuah sekolah agama di Bandar Thantha. Beliau belajar di sekolah ini hingga tamat peringkat menengahnya.

Apabila tamat persekolahan  menengahnya, beliau telah memasukki Universiti al-Azhar dengan pengkhususan dalam bidang al-Qir-at al-Asyr. Beliau berjaya memperolehi ijazah  Ilmu al-Qira-at   pada tahun 1958.

Kegiatan dan sumbangan

Pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai pakar rujuk dan pentashih mashaf al-Quran oleh Masyikhah al-Azhar  di  Lujnah Muraji-‘ah al-Masha-hif wa Tashhihuha. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Lujnah, dan pada tahun 1962, beliau telah dilantik sebagai pengerusinya.

Beliau merupakan orang yang pertama mencadangkan penubuhan Niqabah Li  Qurra’  al-Quran al-Karim ( Persatuan Qurra’ al-Quran ), bagi menjaga kemaslahatan dan menjamin kehidupan mereka. Beliau juga mencadangkan penubuhan institusi-institusi Tahfiz al-Quran di setiap bandar dan kampung . Beliau telah telibat secara langsung dalam penubuhan kebanyakan institusi Tahfiz al-Quran sama ada di Mesir maupun di negara sekitarnya.
Pada tahun 1960, beliau telah dipilih sebagai qari  bagi pembukaan Muktamar Islam yang pertama di India,  yang mana muktamar tersebut dihadiri oleh pembesar-pembesar dari negara-negara Islam, di antaranya Jamal Abdul Nasir ( Presiden Mesir ) dan Jawaherlal Nehru ( Perdana Menteri India ).

Pada tahun 1961, beliau telah dipilih sebagai Syaikh al-Maqari’ al-Misriyyah( Ketua  Umum Para Qurra’ Mesir ).

Pada tahun 1965, ketika beliau melawat Perancis – seramai 10 orang rakyat Perancis telah memeluk Islam selepas mereka mendengar bacaan al-Quran dan  menghadiri sebahagian kuliah pengajaran.

Pada tahun 1966, beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Rabithah Qurra’ al-‘Alami al-Islami  ( Pertubuhan Qurra’ Antarabangsa ) di Muktamar (Iqra’ ) yang diadakan di Karachi Pakistan. 

Pada tahun   1967, beliau menerima Wasam al-‘Ulum wa al-Funun dengan pangkat pertama pada Hari ‘Iyd al-‘Ilm  bagi tahun 1967.
Pada tahun 1977,  Dalegasi dari negara Arab dan Islam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjemput beliau membaca al-Quran dalam bangunan pertubuhan tersebut.

Pada tahun 1978, ketika melawat Britain beliau telah    memperdengarkan bacaan al-Quran di Dewan Diraja Britain dan Dewan Hayurat yang terletak merentangi Sungai Tayamar di London.

Beliau telah mewasiatkan 1/3 daripada harta peninggalan untuk diinfaqkan ( dibelanjakan ) bagi perkara kebajikan dan bagi pengurusan dua masjid iaitu sebuah masjid di Masqath  ( Thantha ) dan sebuah masjid di Kaherah.

Karya Penulisan ;

Di antara karya peninggalan Syaikh al-Hushari ialah ;
  1. Ma-‘al al-Quran
  2. Ahkam Tilawah al-Quran al-Karim
  3. al-Qira-at al-‘Asyr Min al-Syatibiyyah wa al-Durrah
  4. Ahsan al-Athar Fi Tarikh al-Qurra’ al-Arba-‘ah ‘Asyar
  5. Ma-‘alim al-Ihtida’ Ila Ma’rifah al-Waqf wa al-Ibtida’
  6. Riwayah Warasy ‘An al-Imam Nafi’ al- Madani
  7. Nur al-Qulub Fi Qira-ah al-Imam Ya’qub
  8. al-Sabil al-Muyassir Fi Qira-ah al-Imam Abi Ja’far
  9. Riwayah al-Dawri ‘An Abi Amru bin al-‘Ala’ al-Bashri
  10. Riwayah Qalun ‘An Nafi’
  11. al-fath al-kabir Fi al-Isti-‘azah wa al-Takbir.
  12. Rihlati Fi al-Islam
  13. al-Nahj al-Jadid Fi ‘Ilm al-Tajwid.
Kewafatan ;

Setelah banyak menyumbangkan jasanya kepada dakwah dan perkembangan Islam, khususnya dalam tilawah al-Quran, beliau telah kembali kerahmatullah  pada 24 November 1980.

Sabtu, 31 Mac 2012

Syeikh Yusuf al-Nabhani ( 1849-1932H )

Syeikh Yusuf al-Nabhani adalah ulama yang sangat alim, cerdas, wara’, pemberi hujjah, takwa, dan ahli ibadah. Ia selalu menyenandungkan cinta dan pujian untuk Rasulullah SAW dalam bentuk tulisan, kutipan,riwayat, karangan, dan kumpulan syair. Nama lengkapnya adalah Nasiruddin Yusuf bin Isma`il al-Nabhani, keturunan Bani Nabhan, salah satu suku Arab Badui yang tinggal di Desa Ijzim, sebuah desa di bagian utara Palestina, daerah hukum kota Haifa yang termasuk wilayah Akka, Beirut.

Syeikh Yusuf al-Nabhani lahir pada 1265 H (1849 M) dan dibesarkan di Ijzim. Ia menghafal Al-Qur’an dengan berguru kepada ayahandanya sendiri, Isma’il bin Yusuf, seorang syaikh berusia 80 tahun. Pada usia lanjut, Isma`il bin Yusuf masih dikaruniai akal, pancaindra, kekuatan, dan hafalan yang sempuma, rajin beribadah, dan bacaan Al-Qur’an-nya sangat bagus. Setiap tiga hari sekali, Isma`il mengkhatamkan Al-Qur’an, hingga khatam tiga kali dalam seminggu. Keistimewaan dan kelebihan ini sangat mempengaruhi pembentukan dan pertumbuhan pribadi Yusuf al-Nabhani, yang selalu dibekali hidayah dan ketakwaan dari ayahnya yang saleh di lingkungan yang bersih dan suci. Selesai mengkhatamkan hafalan Al-Qur’an, Yusuf al-Nabhani disekolahkan orang tuanya ke al-Azhar, dan mulai bergabung pada Sabtu awal Muharram 1283 H (1866 M). Ia tekun belajar dan menggali ilmu dengan baik dari imam-imam besar dan ulama-ulama umat yang kritis dan ahli ilmu syariat dan bahasa Arab dari empat imam madzhab. Ia sangat tekun berikhtiar dan meminta bimbingan kepada orang-orang berilmu tinggi yang menguasai dalil aqli dan naqli, sehingga ia dapat mereguk samudra ilmu mereka dan mengikuti metode keilmuan mereka. Hal ini berlangsung sampai bulan Rajab 1289 H (1872 M). Kemudian ia mulai berkelana meninggalkan Mesir untuk ikut serta menyebarkan ilmu dan mengabdi kepada Islam, agar bermanfaat bagi kaum muslimin dan meninggikan mercusuar agama.

Ketika namanya semakin terkenal, bintangnya semakin bersinar, dan banyak orang mendapatkan bimbingan dan petunjuk darinya, ia diangkat sebagai pejabat pengadilan di wilayah Syam, dan akhirnya menjadi ketua Pengadian Tinggi di Beirut. Pekerjaannya itu dijalaninya dengan penuh kesungguhan dan niat menolong serta dianggapnya sebagai ibadah disertai niat yang tulus ikhlas. Hatinya senantiasa berzikir dan membaca Al-Qur’an, banyak bershalawat untuk Rasulullah Saw., keluarga, dan sahabat-sahabat beliau. Yusuf al-Nabhani selalu mengisi waktu malam dan siangnya dengan melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunnah tanpa henti, bosan, atau lupa. Tak terhitung banyaknya peristiwa luar biasa yang terjadi padanya, peristiwa-peristiwa yang hanya dikhususkan untuk para wali dan hamba Allah yang selalu dekat dengan-Nya.

Beliau juga tidak meninggalkan aktivitas-aktivitas yang biasa dilakukan orang-orang yang luhur dan dicintai, yakni menyusun dan mengarang berbagai kitab yang sangat mengagumkan. Imam besar ini diyakini mendapatkan ilham kebenaran dari Allah. Kitab-kitabnya yang bernilai tinggi dan agung membahas berbagai disiplin ilmu; ilmu hadis, sejarah Nabi, pujian untuk Nabi, tafsir, pembelaan terhadap Islam, pujian kepada Allah Swt., kisah-kisah tentang wali-wali Allah dan orang-orang khusus-Nya, dan lain sebagainya. Kitab-kitab tersebut tidak mungkin lahir dari kemampuan individualnya belaka, tetapi dibantu dengan karamah, kekuatan, dan pertolongan dari Allah Swt. Jika Allah mencintai hamba-Nya yang benar, maka Dia menjadikan pendengaran-Nya scbagai pendengaran hamba- Nya, dan penglihatan-Nya sebagai penglihatan-hamba-Nya.

Guru-gurunya;

Yusuf al-Nabhani mereguk samudera ilmu dari imam-imam ternama di Al-Azhar. Di antaranya adalah:

 1.Syaikh Yusuf al-Barqawi al-Hanbali, syaikh pilihan dari mazhab Hanbali

2. Syaikh Abdul Qadir al-Rafi’i al-Hanafi al Tharabulusi, syaikh pilihan dari masyarakat Syawam .

3. Syaikh Abdurrahman al-Syarbini al-Syafi`i

4. Syaikh Syamsuddin al-Ambabi al-Syafi’i, satu-satunya syaikh pada masanya yang mendapat julukan Hujjatul Ilmi dan guru besar Universitas Al-Azhar pada masa itu. Dan gurunya ini, Yusuf al-Nabhani belajar Syarah Kitab al-Ghayah wa al-Tagrib fi Fighi al-Syafi`iyyah karya Ibnu Qasim dan Al-Khathib al-Syarbini, dan kitab-kitab lainnya dalam waktu 2 tahun.

5. Syaikh Abdul Hadi Naja al-Ibyari (wafat tahun 1305 H.)

6. Syaikh Hasan al-’Adwi al-Maliki (wafat tahun 1298 H.)

7. Syaikh Ahmad al-Ajhuri al-Dharir al-Syafi`i (wafat tahun 1293 H.)

8. Syaikh Ibrahim al-Zuru al-Khalili al-Syafi’i (wafat tahun 1287 H.)

9. Syaikh al-Mu’ammar Sayyid Muhammad Damanhuri al-Syafi`i (wafat tahun 1286 H.)

10. Syaikh Ibrahim al-Saga al-Syafi’i (wafat tahun 1298 H) Darinya, Yusuf al-Nabhani mempelajari kitab Syarah al-Tahrir dan Manhaj karya Syaikh Zakaria al-Anshari al-Syafi`i, berikut catatan pinggir kedua kitab tersebut, selama tiga tahun, hingga Al-Nabhani dianugerahi ijazah sebagai pertanda atas kapasitas dan posisi keilmuannya.

Karya-karya Yusuf al-Nabhani ada sekitar 75 kitab, antara lain :

1. Hadi al-Murid ila Thuruq Al-Asanid
2. Jâmi` Karamaat al-Awliya`
3. Khulasat al-Kalaam fi Tarjih Din Al-Islam
4. Syawahid al-Haqq fi Al-Istighatsah bi Sayyid al-Khalq
5. Hujjat-Allahi ala al-Alamin
6. Jawahir al-bihar
7. Sa’adat al-Darayn fi Shalati ‘Ala Sayyid Al-Kaunain
8. Afdhalu Ash-Shalawat ‘Ala Sayyid As-Sadat
9. Ahsan al-Wasāil fī Nazmi Asmāi al-Nabiyyi al-Kāmil

Setelah Syeikh Yusuf an-Nabhani bersara dari tugasnya sebagai Qadhi (Hakim), beliau menghabiskan waktunya untuk menulis dan beribadah. Beliau kemudian pergi ke Madinah Munawwarah dan berdiam di sana untuk beberapa waktu. Kemudian beliau pulang kembali ke Beirut. Beliau meninggal dunia menghadap Allah SWT pada awal bulan Ramadhan tahun 1350 H (1932 M), rahimahullah. Beliau dimakamkan di Pemakaman Basyura, di dekat distrik Bastha di Beirut, Libanon.

Yusuf al-Nabhani merupakan seorang ulama yang sangat gigih mempertahankan i’tiqad Ahlussunnah wal Jama’ah.dan beliau bermazhab Syafi’i dalam bidang fiqh.
(Sumber: www.Khilafah1924.Org dan buku Sejarah dan Keagungan Mazhab Syafi’i, karangan KH Sirajuddin Abbas)
Diedit dan diubahsuai dari http://ajuncell.blogspot.com/2011/08/syekh-yusuf-al-nabhani.html

Isnin, 9 Januari 2012

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (1873-1944M)

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Makkah pada tahun 1290 H/1873 M dan wafat pada pada tahun 1363 H/1944 M. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan di kalangan ahli keluarganya yang menjadi ulama besar iaitu ayahnya sendiri Syeikh Nik Mat Kecik, Syeikh Wan ‘Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau pernah dihantar belajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir walaupun pada masa itu, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu dan layak bergelar ulama.

Ketika belajar di Mesir, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani belajar dengan beberapa ulama besar seperti Syeikh Bakhit, ulama dalam Mazhab Hanafi dan tokoh gerakan pembaharuan seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha yang merupakan murid dan orang kanan Syeikh Muhammad Abduh. Seperti kata al-Marhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, walaupun beliau pernah menimba ilmu dengan tokoh pembaharuan dan bersahabat dengan pelopor gerakan Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi namun beliau tidak pernah cenderung pada mana-mana pihak samada Kaum Tua atau Kaum Muda sebaliknya sentiasa berlapang dada apabila bertemu dengan kedua-dua belah pihak itu. Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani daripada satu segi tetap mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Seperti kata a-Marhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, dengan cara demikian akhirnya kedua-dua pihak (Kaum Tua dan Kaum Muda) dengan sendirinya berasa segan dan hormat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengikuti jejak langkah ayahandanya apabila turut memegang jawatan yang tidak kurang pentingnya di Makkah. Beliau dilantik menjadi ‘Kadi Mahkamah al-Kubra Makkah’ malah pernah menjadi ketua dalam jabatan itu. Selain itu Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pernah menjadi ‘Ketua Syeikh Haji Al-Jawi Makkah’ sama seperti yang pernah dilakukan oleh ayahandanya dan juga moyang saudaranya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai penguasa tertinggi Islam di Makkah pada zamannya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani tetap meluangkan masa untuk mengajar baik di rumah mahupun di Masjid al-Haram, Makkah. Sama seperti ayahandanya, beliau juga sangat pemurah dan sentiasa menolong orang. Beliau akan memberi pertolongan dengan mengurusnya sendiri hingga selesai tanpa mengira masa dan kewangan. Beliau mewarisi sifat tersebut daripada ahli keluarganya yang terdahulu iaitu moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ayahandanya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan saudara pupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Syeikh Ahmad al-Fathani dikatakan pernah berwasiat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani supaya kelakuan yang terpuji itu diterap dan diajarkan kepada murid-muridnya khususnya kepada keturunannya.

Dalam bidang penulisan, karya terbesarnya ialah Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab malah menjadi teks pengajian di kebanyakan surau dan masjid diseluruh Negara. Penulisannya dilakukan di Makkah dan diselesaikan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir 1351 H/11 Ogos 1932. Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M) yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.