Rabu, 23 November 2011

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli

 Muqaddimah:

Wahbah al-Zuhayli merupakan seorang tokoh ulama abad ke-20 yang terkenal dari Syria. Namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-20 seperti  Thahir Ashur yang mengarang tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Said Hawwa   dalam al-Asas Fi al-Tafsir, Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran. Sementara dari segi fuqaha, namanya sebaris dengan Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Syaltut, Ali Muhammad al-Khafif, Abdul Ghani Abdul Khaliq dan Muhammad Salam Madkur.
                                                               
Latarbelakang:

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli dilahirkan di sebuah desa Dir Atiyyah, daerah Qalmun, Damsyiq, Syria pada tahun 6 Mac 1932/1351. Bapanya Haji Mustafa al-Zuhayli merupakan seorang yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaan. Beliau bekerja sebagai petani dan peniaga dan sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya untuk menuntut ilmu. Bapanya seorang hafiz yang sentiasa membaca al-Quran setiap malam dari jam dua pagi sehingga terbit fajar. Ibunya bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa’adah, seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Beliau meninggal dunia pada 13 Mac 1984.

Pendidikan :

Beliau mendapat didikan awal peringkat rendah dan kuttab (tadika) di desanya. Pada tahun 1946, beliau memasuki peringkat menengah di Kolej Syariah di Damsyiq selama enam tahun sehingga tahun 1952. Wahbah al-Zuhayli telah berjaya mendapat pangkat cemerlang dalam peringkat menengah tersebut sebelum berhijrah ke bumi Mesir. Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah dalam beberapa universiti di Kaherah dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ketika itu, beliau memperolehi ijazah seperti berikut :

1.    Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956. Beliau mendapat tempat pertama dari kalangan keseluruhan pelajar.
2.       Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957.
3.       Ijazah B.A Dari Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.

Dalam masa lima tahun beliau telah memperolehi tiga ijazah dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kaherah selama dua tahun dan tamat pada tahun 1957. Tajuk tesis peringkat M.A ini ialah al-Zira’i fi al-Siyasah al-Shar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami. Beliau meneruskan pelajaran ke peringkat kedoktoran di universiti yang sama dengan tajuk tesis Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami – Kajian Perbandingan di bawah penyeliaan Dr. Muhammad Salam Madkur. Pada tahun 1963, beliau telah berjaya memperolehi Ph.D dengan pangkat cemerlang dari lujnah munaqasah terdiri daripada Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Hafiz Ghanim yang merupakan Menteri Pendidikan Tinggi.

Dari sini jelas kepada kita, kegigihan Wahbah al-Zuhayli di pelajaran dalam setiap peringkat dan sentiasa mengasingkan diri untuk mengkaji dan membaca buku-buku sejak di kolej Syariah, Damsyiq lagi. Beliau juga mengabungkan antara pengajian Syariah dan Undang-Undang yang membolehkannya dapat memahami realiti semasa dengan mudah. Di samping itu, pengajian undang-undang memudahkannya meningkatkan bakat penulisannya yang sudah terserlah itu.

Guru-guru;

Antara guru-gurunya ialah Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie, (m. 1958) seorang khatib di Masjid Umawi. Beliau belajar darinya fiqh al-Syafie; mempelajari ilmu fiqh dari Abdul Razaq al-Hamasi (m. 1969M); ilmu Hadith dari   Mahmud Yassin,(m.1948M); ilmu faraid dan wakaf dari Judat al-Mardini (m. 1957M),    Hassan al-Shati (m. 1962M),  ilmu tafsir dari Hassan Habnakah al-Midani (m. 1978M); ilmu bahasa Arab dari Muhammad Saleh Farfur (m. 1986M); ilmu usul fiqh dan Mustalah Hadith dari Muhammad Lutfi al-Fayumi (m. 1990M); ilmu akidah dan kalam dari Mahmud al-Rankusi .

Sementara ulamak yang beliau belajar di Mesir adalah seperti Muhammad Abu Zuhrah, (m. 1395H), Mahmud Shaltut (m. 1963M) Abdul Rahman Taj, Isa Manun (1376H), Ali Muhammad Khafif (m. 1978M), Jad al-Rabb Ramadhan (m.1994M), Abdul Ghani Abdul Khaliq (m.1983M) dan Muhammad Hafiz Ghanim. Di samping itu, beliau amat terkesan dengan buku-buku tulisan Abdul Rahman Azam seperti al-Risalah al-Khalidah dan buku karangan Abu Hassan al-Nadwi berjudul Madha Khasira al-‘alam binkhitat al-Muslimin.

Jawatan yang disandang:

Tugas pertama yang disandang selepas memperolehi Ph.D ialah sebagai pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyk pada tahun 1963 dan menjadi professor Madya pada tahun 1969 dan Professor pada tahun 1975. Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Libya, 1972-1974, Universiti Khartum dan Universiti Omdurman di Sudan pada tahun 2000. Beliau juga menjadi pensyarah pelawat di Universiti Emeriat Arab Bersatu al-Ain dari tahun 1984-1989 selama lima tahun dan menjadi penceramah di Qatar dan Kuwait semasa bulan Ramadhan pada tahun 1989-1990. Di samping itu, beliau juga turut memberi khutbah Jumaat sejak tahun 1950 terutama di Masjid Uthman di Damsyiq dan Masjid al-Iman di Dir Atiyyah, menyampaikan ceramah di masjid, radio dan televisyen serta di seminar-seminar dalam segala bidang keilmuan Islam.

Wahbah al-Zuhayli di mata rakan-rakannya:

Said Ramadhan al-Buty mengenalinya sejak tahun 1954 di Universiti al-A
ِzhar. Pada ketika itu, beliau mengenali Wahbah melalui dua perkara sahaja iaitu melalui pemakaian serban putih yang mana pada masa itu ia agak janggal di Mesir. Keduanya ialah cara berjalan yang cergas, tegap dan cepat dalam setiap waktu dan suasana. Perhubungn bertambah akrab apabila mereka mula bertugas di Universiti Damsyiq pada tahun 1965. Hubungan bertambah akrab disebabkan dua perkara iaitu Said Ra,adhn al-Buty merupakan antara orang yang pertama membaca risalah Ph.D Wahbah al-Zuhayli yang diperolehi dari Universiti Kaherah. Keduanya beliau mendapati pada diri Wahbah al-Zuhayli akhlak yang mulia sama ada dari segi ibadat dan pandangannya yang sederhana dan tidak menyalahi pendapat jumhur ulamak yang masyhur. Beliau juga terkenal seorang yang ikhlas dan tidak mengharapkan habuan dunia. Ramadhan al-Buti mengakui kelebihan Wahbah al-Zuhayli sebagai seorang yang gigih mengarang terutama dalam menyiapkan Tafsir al-Munir yang melebihi 32 juzuk sebanyak 16 jilid dalam masa lima tahun semasa bertugas di Emiriat Arab Bersatu(UAE).

Menurut adiknya, Muhammad al-Zuhayli, beliau seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi dari segi waktu dan peraturan yang menyebabkan beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh yang amat diberkati Allah. Beliau kurang menyenangi apabila orang melanggar disiplin, temujanji dan melambatkan tugas. Sejak kecil lagi, Wahbah al-Zuhayli dipanggil oleh bapa mereka sebagai Syeikh al-Islam. Ternyata apa yang difirasatkan oleh ayahnya kini menjadi satu kenyataan apabila beliau menerbitkan al-Tafsir al-Munir, Fiqh al-Islami dan lain-lain buku dalam pasaran sekarang dan menjadi seorang ulamak terkenal abad ini.
Penulis teringat semasa pertemuan dengan Wahbah al-Zuhaili pada 22 November 2006, yang mana rombongan kami lewat tiba di rumahnya. Lalu beliau menelifon dan kurang menyenangi kelewatan rombongan tersebut. Ini menunjukkan ketegasan beliau dalam menepati janji dan masa.

Buku-Buku Karangan Wahbah al-Zuhayli:

Wahbah al-Zuhayli menulis buku, kertas kerja dan artikel dalam pelbagai ilmu Islam. Buku-bukunya melebihi 133 buah buku dan jika dicampur dengan risalah-risalah kecil melebihi lebih 500 tajuk. Satu usaha yang jarang dapat dilakukan oleh ulamak kini seolah-olah ia merupakan al-Suyuti kedua (al-Sayuti al-Thani) pada zaman ini, mengambil sempena seorang Imam Shafi’iyyah iaitu Imam al-Sayuti. Antara buku-bukunya seperti berikut:

  1. Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami - Dirasat Muqaranah (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1963.
  2. al-Wasit fi Usul al-Fiqh, (Ringkasan Usul fiqh), Universiti Damsyiq, 1966.
  3. al-Fiqh al-Islami fi Uslub al-Jadid, (Fiqh Islam dalam Pendekatan Terbaru), Maktabah al-Hadithah, Damsyiq, 1967.
  4. Nazariat al-Darurat al-Syar’iyyah (Teori Darurat dalam Syariat), Maktabah al-Farabi, Damsiq, 1969.
  5. Nazariat al-Daman, (Teori Jaminan ), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1970.
  6. al-Usul al-Ammah li Wahdah al-Din al-Haq (Asas-Asas Penting dalam Kesatuan Agama yang Benar), Maktabah al-Abassiyah, Damsyiq, 1972.
  7. al-Alaqat al-Dawliah fi al-Islam, (Hubungan Antarabangsa Dalam Islam), Muassasah al-Riisalah, Beirut, 1981
  8. al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh, (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya), (8 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1984.
  9. Usul al-Fiqh al-Islami (Usul fiqh) (dua Jilid), Dar al-Fikr al-Fikr, Damsyiq, 1986.
  10. Juhud Taqnin al-Fiqh al-Islami, (Kegigihan Merangka Fiqh Islam), Muassasah al-Risalah, Beirut, 1987.
  11. Fiqh al-Mawaris fi al-Shari’at al-Islamiah, (Hukum Pesaka dalam Syariat Islam) Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.
  12. al-Wasaya wa al-Waqf fi al-Fiqh al-Islami, (Wasiat dan Wakaf dalam Syariat Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.
  13. al-Islam Din al-Jihad La al-Udwan, (Agama Islam adalah Agama Jihad bukan Permusuhan), Persatuan Dakwah Islam Antarabangsa, Tripoli, Libya, 1990.
  14. al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’at wa al-Manhaj (Tafsir Munir dalam Akidah, Syariat dan Manhaj), (16 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1991.
  15. al-Qisah al-Qur’aniyyah Hidayah wa Bayan, (Kisah-Kisah Dalam al-Quran Petunjuk dan Penerangan), Dar Khair, Damsyiq, 1992.
  16. al-Qur’an al-Karim al-bunyatuh al-Tasyri’iyyah aw Khasa’isuh al-Hadariah, ( al-Quran Asas-Asas Perundangan dan Keistimewaan Tamadun), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1993.
  17. al-Rukhsah al-Syari’at – Ahkamuha wa Dawabituha, (Kelonggaran Syariat- Hukum dan Prinsip), Dar al-Khair, Damsyiq, 1994.
  18. Khasa’is al-Kubra li Huquq al-Insan fi al-Islam, ( Asas-Asas Penting bagi Hak-Hak Manusia dalam Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1995.
  19. al-Ulum al-Syari’at Bayn al-Wahdah wa al-Istiqlal ( Ulum Syariah Antara Kesatuan dan Pembebasan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
  20. al-Asas wa al-Masadir al-Ijtihad al-Musytarikat bayn al-Sunnah wa al-Syiah, (Asas dan Sumber Ijtihad bersama antara Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
  21. al-Islam wa Tahadiyyat al-‘Asr, (Islam dan Cabaran Semasa), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
  22. Muwajahat al-Ghazu al-Thaqafi al-Sahyuni wa al-Ajnabi, (Serangan Pemikiran Kebudayaan Zionis dan Asing), Dar al-Maktabi, Dmsyiq, 1996.
  23. al-Taqlid fi al-Madhahib al-Islamiah inda al-Sunnah wa al-Syiah, (Taqlid dalam Mazhab Islam menurut ahli Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.1
  24. al-Ijtihad al-Fiqhi al-Hadith, (Ijtihad Fiqh Baru), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.11
  25. al-Uruf wa al-Adat, (Uruf dan Adat), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
  26. Bay al-Asham, (Penjualan Saham), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
  27. al-Sunnah al-Nabawiyyah ( Sunnah Nabi), Dar al-Maktabi Damsyiq, 1997.
  28. Idarat al-Waqaf al-Khairi, (Pengurusan wakaf Kebajikan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.
  29. 1al-Mujadid Jamaluddin al-Afghani, (Mujadid Jamaluddin al-Afghani), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.
  30. Taghyir al-Ijtihad, (Perubahan Ijtihad), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
  31. Tatbiq al-Syari’at al-Islamiah (Pelaksanaan Syariat Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
  32. al-Zira’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami, (Zira’i dalam Siyasah Syar’iyyah dan Fiqh Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1999.
  33. Tajdid al-Fiqh al-Islami, (Pembaharuan Fiqh Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000.
  34. al-Thaqafah wa al-Fikr, (Keilmuan dan Pemikiran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
  35. Manhaj al-Da’wah fi al-Sirah al-Nabawiyah, (Manhaj Dakwah dalam Sirah Nabi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
  36. al-Qayyim al-Insaniah fi al-Qur’an al-Karim, (Nilai Kemanusiaan dalam al-Quran al-Karim), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
  37. Haq al-Hurriah fi al-‘Alam, (Hak-hak Kebebasan dalam Dunia kini), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000
  38. al-Insan fi al-Qur’an, (Kemanusiaan dalam al-Quran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
  39. al-Islam wa Usul al-Hadarah al-Insaniah, (Islam dan Asas Tamadun Kemanusiaan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
  40. Usul al-Fiqh al-Hanafi, (Usul fiqh Mazhab Hanafi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
Bagi penulis, pertemuan pertama kali dengan Dr Wahbah al-Zuhaili merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan. Satu pengorbanan yang penulis lakukan ialah pada hari tersebut ayahanda penulis Hj. Ghazali Din telah kembali ke Rahmatullah. Namun kedukaan itu sedikit sebanyak terubat dengan perjumpaan dengan Dr. Ramadan al-Buti dan Dr., Wahbah al-Zuhaili. Beliau amat bergembira dengan kunjungan saya dan rakan-rakan dari Majlis Belia Malaysia dan ABIM. Beliau berharap belia-belia Islam terus memperkasakan dakwah Islam di Malaysia dan berharap Malaysia akan menjadi negara Islam moden. Beliau berharap pemimpin Malaysia berhati-hati dengan propaganda Barat dan musuh Islam yang sentiasa ingin meruntuhkan negara umat Islam yang ingin kehadapan dan maju. Namun perkara ini dapat diatasi sekiranya umat Islam di Malaysia bersatu dengan membawa pendekatan yang bijaksana dan hikmah. Di samping itu, beliau menasihati penulis agar terus menyebarkan ilmu dan mengembangkan dakwah dengan penuh keikhlasan terutama melalui penulisan kerana itulah kekuatan ulamak.

Disalin dan diedit kembali  dari http://www.rumai.com/
 (Sumber : Mohd Rumaizuddin Ghazali, Tokoh Islam Kontemporari, Tradisi Ilmu, Petaling Jaya, 2005)

Shaikh Ahmad bin Muhammad Syakir (1892-1958)

 
Beliau ialah al-Allamah al-Muhaddith al-Muhaqqiq Shaikh Ahmad bin Muhammad Syakir bin Muhammad bin Ahmad bin Abdil Qadir. Beliau dilahirkan di Kaherah, Mesir pada  29 Jumadil Akhir 1309 ( iaitu pada tahun1892 Masihi, pada hari Jum’at ketika fajar menyingsing. Beliau masih keturunan shahabat Rasulullah Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu. 

 Selepas bapanya dilantik oleh kerajaan Mesir sebagai ketua para qadhi di Sudan pada tahun 1900, beliau berhijrah bersama ayahnya ke sana. Di sana beliau belajar di sebuah institusi pengajian sehinggalah ayahnya kembali ke Mesir. Seterusnya ayahnya telah dilantik menjawat jawatan Ketua Ulama Iskandariah pada tahun 1904. Bermula dari saat itu Ahmad Syakir meneruskan pembelajarannya di Maahad Iskandariah.

Pada awal usia mudanya Ahmad Syakir amat meminati sastera dan syair. Di antara guru beliau dalam bidang sastera dan syair ialah al-Syaikh Abdussalam Al-Faqi. Kemudian minatnya beralih kepada ilmu hadith. Minat ini disokong sepenuhnya oleh ayahnya. Semasa muda, Ahmad Syakir dan adik beradiknya belajar beberapa buah buku yang diajar oleh bapa mereka sendiri meliputi bidang Tafsir, Hadis, Fiqh dan Usul Fiqh serta lain-lain lagi.

Ahmad Syakir menyambung pembelajarannya di Universiti al Azhar. Di al-Azhar, Mesir beliau sering berdamping dan belajar daripada para ulama yang ada di universiti tersebut. Beliau juga pernah menuntut ilmu hadith daripada seorang ahli hadith terkemuka Maghribi iaitu Abdullah Ibn Idris al Sanusi. Beliau pernah bertemu dan belajar dengan Syeikh Muhammad Ibn al-Amin al Syanqithi, Syeikh Thahir al-Jaza-iri, Syeikh Rasyid Ridha, Syaikh Syakir al-‘Iraqi dan al-Syaikh Jamaluddin Al-Qasimi dan ulama lain.

Pada tahun 1917 Ahmad Syakir telah berjaya menamatkan pengajian sehingga mendapat Ijazah Alamiyyah (phd) daripada universiti al Azhar. Beliau kemudiannya diberikan beberapa jawatan dan dilantik menjadi qadhi pada tahun 1951 seterusnya ketua Mahkamah Tinggi Syariah sehingga beliau bersara.

Beliau sentiasa menulis sepanjang hidupnya. Sumbangannya meliputi buku, penyemakan buku-buku klasik, artikel ilmiah dan sebagainya. Beliau amat tegas dalam menentang sebarang kemungkaran yang berlaku di zamannya. Beliau juga sentiasa memberikan pendapat-pendapat yang dianggap sebagai ‘ijtihad’ dan tidak sekadar menurut dan mengulangi perkara yang sudah disebut sekian lama. Ahmad Syakir amat mengagumi Ibn Hazm yang merupakan seorang imam bagi mazhab al-Zhahiri yang kadangkala membawa pendapat-pendapat tersendiri dalam fiqh selagi mana ada ruang untuk berijtihad. Ini jelas terbukti kerana beliaulah yang melakukan semakan dan seterusnya berusaha mencetak dua buku Ibn Hazm yang terkenal iaitu al-Muhalla dan al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam. Beliau sering memuji Ibn Hazm ketika memberikan komen pada tempat-tempat tertentu di dalam kedua buku tersebut. Namun begitu beliau tetap mengkritik pendapat-pendapat Ibn Hazm yang tidak tepat menurut pemahaman beliau.

Beliau sentiasa memberikan tumpuan ke arah menyebarkan buku-buku klasik sama ada dalam bidang hadith atau bidang-bidang ilmu Islam yang lain seperti fiqh, tafsir, Usul Fiqh, Sastera Arab dan sebagainya. Di antara buku terawal yang beliau cetak berserta semakan yang teliti ialah;

  1. Kitab al Risalah karya Imam al Syafie pada tahun 1939. Segala komen yang beliau muatkan sepanjang mengkaji buku itu amat berfaedah.
  1. Buku seterusnya yang dikaji dan dicetak oleh beliau ialah Sunan al Tirmizi atau nama sebenarnya al Jami’ al Kabir. Namun beliau hanya sempat menghabiskan kajiannya terhadap sebahagian buku tersebut dan dicetak dalam dua jilid. Cetakan buku Sunan al Tirmizi ini diteruskan oleh Muhammad Fuad Abd. Baqi dan Ibrahim Athwah. Tetapi bagi sesiapa yang membandingkan antara cetakan mereka berdua dengan cetakan Ahmad Syakir sudah pasti dapat menilai ketinggian ilmu Ahmad Syakir. Buku al Jami’ al Kabir telah dikaji oleh ulama lain seperti al Albani yang membahagikannya kepada dua buku iaitu Sahih Sunan al Tirmizi dan Dhaif Sunan al Tirmizi. Buku ini juga dicetak dan disemak oleh Dr. Basyar Awwad Ma’ruf sebanyak 6 jilid. Seorang lagi pengkaji hadis masa ini, Syuaib al Arnaouth juga telah membuat semakan terkini namun semasa artikel ini ditulis, ia belum lagi siap dicetak oleh Muassasah al Risalah.
 Di antara buku-buku lain yang dikaji oleh Ahmad Syakir adalah seperti berikut:

  1. Mukhtashor (Ringkasan) Sunan Abu Daud karya al Mundziri yang dicetak bersama Tahdzib Sunan Abu Daud karya Ibn Qayyim al Jauziyyah dan Ma’alim al Sunan karya al Khattabi. Buku ini dikaji oleh beliau bersama seorang lagi pengkaji hadith bernama Muhammad Hamid al Faqi.
  1. Sahih Ibn Hibban yang tidak sempat beliau lengkapkan kajian terhadapnya. Buku ini pertama kali siap dikaji oleh Syuaib al Arnaouth dan dicetak oleh Muassasah al Risalah sebanyak 18 jilid.
  1. Umdatu al Tafsir yang merupakan ringkasan yang beliau buat terhadap Tafsir al Quran al Azhim karya Ibn Kathir.
  1. Tafsir at Thabari yang dikaji beliau bersama adiknya yang merupakan sasterawan agung bernama Shaikh Mahmud Syakir.
  1. al-Musnad karya Imam Ahmad Bin Hanbal yang dikaji beliau sejak tahun 1946. Beliau hanya sempat mencetak sebanyak 17 jilid. Sesiapa yang ingin melihat keluasan ilmu Ahmad Syakir dalam bidang hadith, bolehlah melihat komen dan ulasan beliau di dalam buku al Musnad. Al Musnad telah siap dikaji oleh sekumpulan pengkaji dari Muassasah al Risalah dipimpin oleh ketua unit penyelidikannya Syuaib al-Arnaut. Ia siap dicetak pada tahun 2001 sebanyak 50 jilid.
  1. Islah al-Manthiq karya Ibn al Sikkit, al Ashmaiyyat dan al Mufaddhaliyyat yang dikaji bersama sasterawan terkenal bernama Abd. Salam Harun.
Kajian yang dilakukan terhadap buku-buku ini meliputi kajian teks dan juga kajian terhadap isi kandungan buku-buku tersebut. Kaedah pengkajian sebegini disebut sebagai ‘tahqiq’. Sekiranya terdapat hadith-hadith atau riwayat-riwayat para sahabat, maka Ahmad Syakir akan berusaha mengkaji kesahihannya. Kajian dibuat berdasarkan kaedah-kaedah pengkajian hadith atau apa yang dikenali sebagai Ilmu Mustolah al Hadith. Ilmu pengkajian hadith merupakan ijtihad dan usaha para ulama. Ahmad Syakir telah menilai kembali kajian para ulama terdahulu dan cuba membuat kajian lanjut. Hasil kajian ini kadangkala menjadikan beliau bersetuju dan adakalanya pula beliau tidak bersetuju dengan hasil kajian ulama terdahulu. Ini merupakan perkara biasa dalam suasana ilmu atau akademik. Kajian-kajian dan hasil yang beliau dapati juga telah dikritik pula oleh ulama-ulama hadith selepas beliau seperti Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syuaib al- Arnaut dan sebagainya. Ini merupakan lumrah yang sentiasa berlaku dalam kajian ilmiah.

 Pujian ulama terhadap keilmuan Ahmad Syakir;

Salah seorang pengkaji sastera di Jordan yang bernama Umar al-Qayyam telah menyifatkan beliau merupakan satu daripada tiga permata bernilai dalam bidang hadith zaman moden : Ahmad Syakir, Muhammad Nasiruddin al-Albani dan Syuaib al-Arnaut.

Adiknya iaitu Mahmud Syakir telah menyifatkan abangnya sebagai Imam al-Muhaddithin pada zamannya (imam bagi semua ahli hadith).

Menurut Syuaib al Arnaouth :

‘Ahmad Syakir merupakan seorang yang telah sampai ke tahap mengetahui hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam secara riwayat dan dirayah (yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pada masa ini ). Beliau dianggap sebagai perintis kepada penyebaran semula teks-teks hadith di kurun ini serta penyemakannya kembali mengikut kaedah yang dicontohi oleh para pengkaji hadith’. (Pendahuluan Sahih Ibn Hibban – jilid 1 – muka surat 62 – cetakan Muassasah al Risalah)

Menurut kesaksian Asy-Syaikh Muhammad Hamid Al-Faqi -salah seorang sahabat beliau-, al-Syaikh Ahmad Syakir memiliki kesabaran yang begitu tinggi. Hafalannya pun kuat tidak dapat ditandingi. Beliau juga memiliki kemampuan tinggi dalam memahami hadits dan bagus mengungkapkannya dengan akal dan nash. Beliau juga dalam pandangan ilmunya serta tidak taqlid kepada seorang pun.

Berikut adalah beberapa petikan kata-kata beliau yang dipetik daripada buku-buku yang beliau hasilkan:

‘Kaum muslimin pada tiga kurun awal Islam (sahabat, tabiin dan tabii al tabiin) merupakan golongan manusia yang paling mulia, tinggi akhlaknya, amat takut kepada ALLAH. Oleh sebab itulah mereka dibantu oleh ALLAH dan dibantu dalam menakluki negara-negara lain serta memimpin seluruh manusia dalam masa yang singkat. Ini dilakukan dengan agama dan akhlak yang indah terlebih dahulu sebelum mereka menakluki negara-negara itu dengan pedang dan anak panah’.
(Pendahuluan al Baith al Hathith – Ahmad Syakir – muka surat 8 – cetakan Dar al Turath)

‘Dan pendapatku ialah : memberi penjelasan tentang kedhaifan sesuatu hadith yang dhaif adalah wajib dalam semua keadaan. sebabnya ialah sikap tidak memberi penjelasan ini akan menjadikan orang yang melihat hadith ini menyangka ia adalah sahih’. (Al Baith al Hathith – muka surat 76)

‘Tidak ada bezanya hadith dhaif dalam bab hukum-hakam atau fadhilat amalan dan perlulah menghindari dari mengambil riwayat yang dhaif. Bahkan tidak ada hujah bagi sesiapa kecuali apa yang sahih dari hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sama ada daripada hadith sahih atau hadith hasan’. (Al Baith al Hathith – muka surat 76)

‘Adapun zaman kita ini, maka orang ramai telah meninggalkan ilmu riwayat (hadith). Kemudian mereka meninggalkan pengkajian hadith kecuali segelintir daripada mereka’. (Alfiyah al Suyuthi Fi Ilmi al Hadith – muka surat 93 – cetakan al Maktabah al Ilmiyyah).

‘Dan siapa tahu, semoga umat Islam akan mengembalikan kegemilangannya dan kembali kepada agamanya dan ilmu-ilmu tentang agamanya. Dan tiada yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH’. (Alfiyah al Suyuthi Fi Ilmi al Hadith – muka surat 93)

Ahmad Syakir wafat pada hari Sabtu tanggal 26 Dzulqa’dah 1377H atau bertepatan dengan tanggal 9 Jun 1958 dan beliau telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat luas untuk disambung dan dinilai oleh generasi seterusnya.

Marilah kita mencontohi kegigihan Ahmad Syakir dalam menyebarkan ilmu berdasarkan kajian ilmiah. Kita juga perlu menginsafi bagaimana sayangnya Ahmad Syakir kepada karya-karya ilmiah klasik dan kepentingannya. Karya-karya ini perlu dinilai dan disebarkan dalam bentuk yang lebih baik agar khazanah ilmu ini dapat dikongsi oleh generasi akan datang. Semoga mereka yang berkelulusan agama terutamanya daripada Universiti al-Azhar dapat mengikut jejak langkah beliau yang telah mengharumkan nama al-Azhar dan Mesir suatu masa dahulu.


Sumber:

-Mahmud Muhammad Syakir, ar-Rajulu wa al-Manhaj.
-Pendahuluan buku Sahih Ibnu Hibban yang ditulis oleh Syuaib al-Arnaut.

Disalin dan diubahsuai kembali dari  http://www.blogger.com/profile/11375762711014235046




Selasa, 22 November 2011

Prof. Mustafa bin Ahmad al-Zarqaa’ (1904 – 1999)

Beliau ialah al-‘Alim al-‘Allamah al-Faqih al-Adib al-Ustaz Mustafa bin al-Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Zarqaa’. Beliau dilahirkan di Bandar Haleb ( Aleppo ) al-Syahbaa’ , Syria pada tahun 1322H / 1904M. Bapa beliau, Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Zarqaa’ merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di Haleb dan khususnya kepakarannya dalam fiqh mazhab Hanafi. Syaikh Ahmad, mengajar di Madrasah al-Tsanawiyyah al-Sya-‘iyyah [ yang sebelumnya terkenal dengan nama al-Madrasah al-Khusrawiyyah al-Syar-‘iyyah ]. Di samping itu beliau juga pernah mengajar di Madrasah al-Sya’baniyyah, al-‘Utsmaniyyah, dan al-Jami’ al-Umawi al-Kubra.

 Alam Pendidikan;

al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ mula mempelajari agama daripada bapanya sendiri. Kemudian, beliau mempelajari ulumuddin [ ilmu-ilmu agama ] daripada beberapa syaikh di Madrasah al-Khusrawiyyah al-Syar-‘iyyah. Selain ilmu agama, beliau juga mempelajari ilmu-ilmu moden dan bahasa Perancis di madrasah tersebut. Setelah beberapa tahun belajar, beliau telah berjaya memperolehi dua sijil akademiknya iaitu al-Syahadah al-Syar-‘iyyah dan al-Syahadah al-Tsanawiyyah al-Rasmiyyah al-Hukumiyyah. Dengan kejayaannya itu, melayakan beliau melanjutkan pelajaran di Kulliyyah al-Huquq wa al-Adab pada tahun 1930. Setelah 3 tahun , beliau telah berjaya memperolehi dua ijazah, iaitu Ijazah Undang-undang dan Ijazah Sastera.

Alam Pekerjaan:

Setelah tamat pengajiannya, beliau telah memasuki alam pekerjaan. Beliau berkecimpung dalam bidang perundangan sebagai seorang peguam selama 10 tahun. Dalam tempoh tersebut, dalam kesibukannya sebagai peguam, beliau telah meneruskan pembelajarannya di Kulliyyah al-Huquq , Universiti Fuad 1 ( Universiti Kaherah sekarang ) dan telah berjaya memperolehi Diploma Syariah Islamiyyah.

Pada tahun 1944 – 1966, beliau telah berkhidmat di Universiti Syria , sebagai Profesor di Kuliyyah al-Huquq bagi kursus Syari-‘ah dan al-Qanun ( Undang-undang ) . Di samping itu, beliau juga dilantik sebagai pensyarah di Kulliyyah al-Syari-‘ah dan Kulliyyah al-Adab bai kursus al-Hadis al-Nabawi. Di sebalik kesibukannya itu, beliau telah berjaya menyusun sebuah kitabnya yang terkenal iaitu al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Am [ atau disebut juga oleh beliau sebagai al-Fiqh al-Islami Fi Tsawbihi al-Jadid ].

Pada tahun 1971, beliau telah dijemput oleh Universiti Jordan untuk berkhidmat di sana. Beliau menerima jemputan tersebut dan mengajar di Kulliyyah al-Syari-‘ah sehingga akhir tahun 1989. Beliau telah menggunakan beberapa buah kitab sebagi teks pengajarannya, termasuklah kitab beliau al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Am yang terkenal itu.

Di samping berkhidmat dalam profesion pendidikan, beliau juga terlibat dalam bidang politik dan pentadbiran negara. Di mana, beliau telah dipilih sebagai ahli parlemen mewakili wilayah Haleb di Majlis Parlemen Syria pada tahun 1954 dan 1961. Justeru itu, beliau dilantik sebagai Menteri Keadilan pada tahun 1956 dan Menteri Wakaf pada tahun 1961.

Kegiatan-Kegiatan dan Sumbangan

1. Dilantik oleh Pertubuhan Rabithah al-‘Alam al-Islami yang berpusat di Makkah al-Mukarramah sebagai ahli “ al-Majma’ al-Fiqhi ”. Beliau menjadi ahlinya semenjak ia ditubuhkan lagi.
2. Dilantik oleh “ Munazamah al-Mu’tamar al-Islami ” ( Pertubuhan Persidangan Islam – OIC ) yang berpusat di Jeddah sebagai ahli “ Majma’ al-Fiqh ” pertubuhan tersebut.
3. Dilantik oleh Kerajaan Jordan menganggotai Majlis al-Majma’ al-Maliki Li Buhuts al-Hadharah al-Islamiyyah [ Mu-assasah Alu al-Bayt ] semenjaktahun 1981.
4. Terlibat dalam penggubalan Undang-undang Kekeluargaan Islam Syria [ Qanun al-Ahwal al-Syakhsiyyah ] ketika menjadi ahli parlemen di Majlis Parlemen Syria.
5. Beliau juga terlibat dalam mengasas, dan memperkembangkan pelbagai program pendidikan di beberapa unibersiti di Timur Tengah seperti Kuliyyah al-Syari-‘ah di Universiti Dimasyq, Kuliyyah al-Syariah dan Kuliyyah Usuluddin di Universiti al-Azhar serta Universiti Islam di Madinah dan Kulliyyah al-Syari-‘ah di Makkah al-Mukarramah.

Pengiktirafan ulama’ mengenai ketinggian ilmu al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa'

Pada tahun 60-an yang lalu, di Dimasyq, Syria telah diadakan mu’tamar “ Usbu’ al-Fiqh al-Islam [ Minggu Fiqh Islam ]. Ia telah dihadiri oleh ramai fuqaha’ dari pelbagai negara Islam. Di antara mereka ialah al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ , al-Syaikh Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Mustafa al-Sibaa-‘i. Di antara fuqaha’ yang paling menyerlah dan aktif di muktamar ini ialah al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ dan Syaikh Muhammad Abu Zahrah. Dalam satu isu fiqh semasa iaitu mengenai masalah al-Ta-amin, telah berlaku perbezaan pendapat yang besar di antara mereka berdua. Masing-masing cuba menegakkan pandangan dengan dalil dan hujah masing-masing. Perdebatan tersebut berakhir tanpa penyekesaian.

Dalam temu bual khas dengan Dr. Mustafa al-Sibaa-‘i, beliau telah ditanya pendapatnya mengenai sebab berlakunya perbezaan pendapat antara dua tokoh fuqaha’ terkenal itu. Dr. al-Sibaa-‘i menjelaskan; “ al-Syaikh Abu Zahrah merupakan “ maktabah fiqhiyyah ” manakala al-Zarqaa’ pula merupakan “ milkah fiqhiyyah ”. Di mana beliau berpendapat wujudnya perbezaan yang besar di antara maktabah [ perpustakaan ] dengan milkah [ bakat yang tersendiri ], kerana di perpustakaan terdapat banyak buku-buku rujukan , sedangkan milkah merupakan salah satu daripada syarat-syarat mujtahid. Berdasarkan kata-kata al-Sibaa-‘i , menunjukkan beliau menganggap al-Zarqaa’ mempunyai keilmuan yang tinggi, dan mampu mencapai martabat ijtihad.

Di sebuah muktamar yang diadakan di Paris, Perancis, al-Ustaz al-Zarqaa’ dijemput untuk menghadirinya bagi membincangkan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh umat Islam di sana. Selain beliau, beberapa ulama’ besar dunia Islam yang lain turut hadir, antaranya ialah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dan al-Syaikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah r.h. .

Ketika al-Zarqaa’ memberi pendapatnya mengenai suatu masalah yang dibincangkan dalam muktamar tersebut, al-Qardhawi tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Lalu al-Qardhawi mengangkat tangannya dan meminta keizinan daripada al-Zarqaa’ untuk mengemukakan pandangannya pula mengenai masalah tersebut. Melihat kepada cara al-Qardhawi meminta keizinan dan mengutarakan pendapatnya itu, menunjukkan bagaimana al-Qardhawi begitu menghormati al-Zarqaa’ sebagaimana seorang murid di hadapan gurunya. Sesungguhnya perbezaan pendapat mengenai sesuatu masalah itu, tidak merosakkan hubungan dan sifat hormat menghormati antara mereka.

Manakala al-Ustaz al-Syahid ‘Abdul Qadir ‘Audah r.h., ( iaitu orang yang pertama menyusun buku mengenai undang-undang jenayah Islam secara terperinci – al-Qanun al-Jina-i Fi al-Islam ) sangat menyanjungi dan memuji keistimewaan buku yang disusun oleh al-Zarqaa’ iaitu al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am. Beliau menyeru para ilmuan Islam menjadikan buku tersebut sebagai rujukan mereka.

Di antara karya penulisan al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’

1. al-Ahkam al-Auqaf [ Hukum-hukum wakaf ]
2. Fi al-Hadis al-Nabawi
3. 1al-Istislah wa al-Masalih al-Mursalah Fi al-Fiqh al-Islami
4. al-Fi’l al-Dhar wa al-Dhaman Fih
5. Nizam al-Ta’min, wa al-Ra’y al-Syar-‘i Fih
6. al-Fiqh al-Islami wa Madarisuh
7. Risalah: ‘Azamah Muhammad Mujma’ al-‘Azamat al-Basyariyyah
8. ‘Aqd al-Istisna’ wa Atsaruh Fi Nasyat al-Bunuk 1al-Islamiyyah
9. Shiyaghah Syar-‘iyyah Linazhariyyah al-Ta-‘assuf Fi Isti’mal al-Haq
10. al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am

Kewafatan

al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ meninggal dunia pada 3 Julai tahun 1999 di Riyadh, Arab Saudi. Semoga Allah menempatkannya di kalangan ulama’ al-‘Amilin al-Shalihin.

Diringkaskan dari artikel yang bertajuk; “ Mustafa al-Zarqaa’ : Madrasah Islamiyyah, Ta-‘allam minha al-Jami’ ” oleh Dr. Bakri Syaikh Amin, Majalah al-Hajj, Jil. 56 2001