Selasa, 22 November 2011

Prof. Mustafa bin Ahmad al-Zarqaa’ (1904 – 1999)

Beliau ialah al-‘Alim al-‘Allamah al-Faqih al-Adib al-Ustaz Mustafa bin al-Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Zarqaa’. Beliau dilahirkan di Bandar Haleb ( Aleppo ) al-Syahbaa’ , Syria pada tahun 1322H / 1904M. Bapa beliau, Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Zarqaa’ merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di Haleb dan khususnya kepakarannya dalam fiqh mazhab Hanafi. Syaikh Ahmad, mengajar di Madrasah al-Tsanawiyyah al-Sya-‘iyyah [ yang sebelumnya terkenal dengan nama al-Madrasah al-Khusrawiyyah al-Syar-‘iyyah ]. Di samping itu beliau juga pernah mengajar di Madrasah al-Sya’baniyyah, al-‘Utsmaniyyah, dan al-Jami’ al-Umawi al-Kubra.

 Alam Pendidikan;

al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ mula mempelajari agama daripada bapanya sendiri. Kemudian, beliau mempelajari ulumuddin [ ilmu-ilmu agama ] daripada beberapa syaikh di Madrasah al-Khusrawiyyah al-Syar-‘iyyah. Selain ilmu agama, beliau juga mempelajari ilmu-ilmu moden dan bahasa Perancis di madrasah tersebut. Setelah beberapa tahun belajar, beliau telah berjaya memperolehi dua sijil akademiknya iaitu al-Syahadah al-Syar-‘iyyah dan al-Syahadah al-Tsanawiyyah al-Rasmiyyah al-Hukumiyyah. Dengan kejayaannya itu, melayakan beliau melanjutkan pelajaran di Kulliyyah al-Huquq wa al-Adab pada tahun 1930. Setelah 3 tahun , beliau telah berjaya memperolehi dua ijazah, iaitu Ijazah Undang-undang dan Ijazah Sastera.

Alam Pekerjaan:

Setelah tamat pengajiannya, beliau telah memasuki alam pekerjaan. Beliau berkecimpung dalam bidang perundangan sebagai seorang peguam selama 10 tahun. Dalam tempoh tersebut, dalam kesibukannya sebagai peguam, beliau telah meneruskan pembelajarannya di Kulliyyah al-Huquq , Universiti Fuad 1 ( Universiti Kaherah sekarang ) dan telah berjaya memperolehi Diploma Syariah Islamiyyah.

Pada tahun 1944 – 1966, beliau telah berkhidmat di Universiti Syria , sebagai Profesor di Kuliyyah al-Huquq bagi kursus Syari-‘ah dan al-Qanun ( Undang-undang ) . Di samping itu, beliau juga dilantik sebagai pensyarah di Kulliyyah al-Syari-‘ah dan Kulliyyah al-Adab bai kursus al-Hadis al-Nabawi. Di sebalik kesibukannya itu, beliau telah berjaya menyusun sebuah kitabnya yang terkenal iaitu al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Am [ atau disebut juga oleh beliau sebagai al-Fiqh al-Islami Fi Tsawbihi al-Jadid ].

Pada tahun 1971, beliau telah dijemput oleh Universiti Jordan untuk berkhidmat di sana. Beliau menerima jemputan tersebut dan mengajar di Kulliyyah al-Syari-‘ah sehingga akhir tahun 1989. Beliau telah menggunakan beberapa buah kitab sebagi teks pengajarannya, termasuklah kitab beliau al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Am yang terkenal itu.

Di samping berkhidmat dalam profesion pendidikan, beliau juga terlibat dalam bidang politik dan pentadbiran negara. Di mana, beliau telah dipilih sebagai ahli parlemen mewakili wilayah Haleb di Majlis Parlemen Syria pada tahun 1954 dan 1961. Justeru itu, beliau dilantik sebagai Menteri Keadilan pada tahun 1956 dan Menteri Wakaf pada tahun 1961.

Kegiatan-Kegiatan dan Sumbangan

1. Dilantik oleh Pertubuhan Rabithah al-‘Alam al-Islami yang berpusat di Makkah al-Mukarramah sebagai ahli “ al-Majma’ al-Fiqhi ”. Beliau menjadi ahlinya semenjak ia ditubuhkan lagi.
2. Dilantik oleh “ Munazamah al-Mu’tamar al-Islami ” ( Pertubuhan Persidangan Islam – OIC ) yang berpusat di Jeddah sebagai ahli “ Majma’ al-Fiqh ” pertubuhan tersebut.
3. Dilantik oleh Kerajaan Jordan menganggotai Majlis al-Majma’ al-Maliki Li Buhuts al-Hadharah al-Islamiyyah [ Mu-assasah Alu al-Bayt ] semenjaktahun 1981.
4. Terlibat dalam penggubalan Undang-undang Kekeluargaan Islam Syria [ Qanun al-Ahwal al-Syakhsiyyah ] ketika menjadi ahli parlemen di Majlis Parlemen Syria.
5. Beliau juga terlibat dalam mengasas, dan memperkembangkan pelbagai program pendidikan di beberapa unibersiti di Timur Tengah seperti Kuliyyah al-Syari-‘ah di Universiti Dimasyq, Kuliyyah al-Syariah dan Kuliyyah Usuluddin di Universiti al-Azhar serta Universiti Islam di Madinah dan Kulliyyah al-Syari-‘ah di Makkah al-Mukarramah.

Pengiktirafan ulama’ mengenai ketinggian ilmu al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa'

Pada tahun 60-an yang lalu, di Dimasyq, Syria telah diadakan mu’tamar “ Usbu’ al-Fiqh al-Islam [ Minggu Fiqh Islam ]. Ia telah dihadiri oleh ramai fuqaha’ dari pelbagai negara Islam. Di antara mereka ialah al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ , al-Syaikh Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Mustafa al-Sibaa-‘i. Di antara fuqaha’ yang paling menyerlah dan aktif di muktamar ini ialah al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ dan Syaikh Muhammad Abu Zahrah. Dalam satu isu fiqh semasa iaitu mengenai masalah al-Ta-amin, telah berlaku perbezaan pendapat yang besar di antara mereka berdua. Masing-masing cuba menegakkan pandangan dengan dalil dan hujah masing-masing. Perdebatan tersebut berakhir tanpa penyekesaian.

Dalam temu bual khas dengan Dr. Mustafa al-Sibaa-‘i, beliau telah ditanya pendapatnya mengenai sebab berlakunya perbezaan pendapat antara dua tokoh fuqaha’ terkenal itu. Dr. al-Sibaa-‘i menjelaskan; “ al-Syaikh Abu Zahrah merupakan “ maktabah fiqhiyyah ” manakala al-Zarqaa’ pula merupakan “ milkah fiqhiyyah ”. Di mana beliau berpendapat wujudnya perbezaan yang besar di antara maktabah [ perpustakaan ] dengan milkah [ bakat yang tersendiri ], kerana di perpustakaan terdapat banyak buku-buku rujukan , sedangkan milkah merupakan salah satu daripada syarat-syarat mujtahid. Berdasarkan kata-kata al-Sibaa-‘i , menunjukkan beliau menganggap al-Zarqaa’ mempunyai keilmuan yang tinggi, dan mampu mencapai martabat ijtihad.

Di sebuah muktamar yang diadakan di Paris, Perancis, al-Ustaz al-Zarqaa’ dijemput untuk menghadirinya bagi membincangkan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh umat Islam di sana. Selain beliau, beberapa ulama’ besar dunia Islam yang lain turut hadir, antaranya ialah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dan al-Syaikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah r.h. .

Ketika al-Zarqaa’ memberi pendapatnya mengenai suatu masalah yang dibincangkan dalam muktamar tersebut, al-Qardhawi tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Lalu al-Qardhawi mengangkat tangannya dan meminta keizinan daripada al-Zarqaa’ untuk mengemukakan pandangannya pula mengenai masalah tersebut. Melihat kepada cara al-Qardhawi meminta keizinan dan mengutarakan pendapatnya itu, menunjukkan bagaimana al-Qardhawi begitu menghormati al-Zarqaa’ sebagaimana seorang murid di hadapan gurunya. Sesungguhnya perbezaan pendapat mengenai sesuatu masalah itu, tidak merosakkan hubungan dan sifat hormat menghormati antara mereka.

Manakala al-Ustaz al-Syahid ‘Abdul Qadir ‘Audah r.h., ( iaitu orang yang pertama menyusun buku mengenai undang-undang jenayah Islam secara terperinci – al-Qanun al-Jina-i Fi al-Islam ) sangat menyanjungi dan memuji keistimewaan buku yang disusun oleh al-Zarqaa’ iaitu al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am. Beliau menyeru para ilmuan Islam menjadikan buku tersebut sebagai rujukan mereka.

Di antara karya penulisan al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’

1. al-Ahkam al-Auqaf [ Hukum-hukum wakaf ]
2. Fi al-Hadis al-Nabawi
3. 1al-Istislah wa al-Masalih al-Mursalah Fi al-Fiqh al-Islami
4. al-Fi’l al-Dhar wa al-Dhaman Fih
5. Nizam al-Ta’min, wa al-Ra’y al-Syar-‘i Fih
6. al-Fiqh al-Islami wa Madarisuh
7. Risalah: ‘Azamah Muhammad Mujma’ al-‘Azamat al-Basyariyyah
8. ‘Aqd al-Istisna’ wa Atsaruh Fi Nasyat al-Bunuk 1al-Islamiyyah
9. Shiyaghah Syar-‘iyyah Linazhariyyah al-Ta-‘assuf Fi Isti’mal al-Haq
10. al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am

Kewafatan

al-Ustaz Mustafa al-Zarqaa’ meninggal dunia pada 3 Julai tahun 1999 di Riyadh, Arab Saudi. Semoga Allah menempatkannya di kalangan ulama’ al-‘Amilin al-Shalihin.

Diringkaskan dari artikel yang bertajuk; “ Mustafa al-Zarqaa’ : Madrasah Islamiyyah, Ta-‘allam minha al-Jami’ ” oleh Dr. Bakri Syaikh Amin, Majalah al-Hajj, Jil. 56 2001

Tiada ulasan:

Catat Ulasan